KUALA LUMPUR – Seramai 18 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dijalankan di 12 premis perniagaan sekitar ibu negara hari ini kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, operasi yang bermula pukul 10.15 pagi itu melibatkan 33 pegawai Imigresen dan 11 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sasaran terhadap premis yang dipercayai menggaji atau dikendalikan warga asing.
Menurutnya, seramai 39 individu telah diperiksa dengan 18 daripadanya ditahan membabitkan 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 25 hingga 32 tahun.
“Daripada jumlah itu, empat lelaki warga Indonesia, seorang wanita Bangladesh, tiga wanita India, enam lelaki dan seorang wanita Myanmar serta tiga lelaki Pakistan telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, menggunakan kad yang tidak diiktiraf serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.
Dalam operasi sama, dua borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada dua warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
Mengulas mengenai premis yang diperiksa, Hamsha berkata, operasi melibatkan pelbagai jenis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai runcit yang didapati menggaji warga asing.
“Setakat ini kita tidak mengesan premis dimiliki majikan warga asing. Apa yang kita dapati ialah warga asing digajikan oleh pemilik premis tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan, pemilik premis dan individu yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sementara itu beliau memaklumkan, bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lalu, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memfailkan 845 pertuduhan melibatkan 801 warga asing daripada pelbagai negara.
“Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa merekodkan jumlah tertinggi dengan 556 pertuduhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















