Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUANTAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan kepentingan misi menjayakan Angkatan Masa Hadapan seiring cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan tidak menentu ketika ini.

Beliau berkata, kerjasama antara ketiga-tiga perkhidmatan ketenteraan di darat, laut dan udara akan menjadikan sebuah angkatan moden, lebih pintar dan lebih bersepadu dalam memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi pelbagai cabaran keselamatan yang tidak menentu.

“Kalau dahulu ancaman sering dikaitkan dengan peperangan konvensional, tetapi hari ini keadaannya sudah jauh berbeza.

“Ancaman boleh datang dalam pelbagai bentuk. Serangan siber, manipulasi maklumat, peperangan hibrid, gangguan rantaian bekalan, bencana alam, persaingan kuasa besar. Semua ini memberi kesan kepada keselamatan negara.

“Dan yang ingin saya tekankan, cabaran terbesar kita hari ini bukan hanya soal ancaman yang semakin pelbagai, tetapi yang perlu ditekankan ialah ketidakpastian yang sebenar,” katanya.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Wira LTAT Edisi
Pantai Timur di Pengkalan Udara Kuantan

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Edisi Pantai Timur di Pengkalan Udara Kuantan, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Datuk Seri  Azizan Ariffin (TUDM) (B).

Jelas Mohamed Khaled, Angkatan Masa Hadapan tidak akan bergantung hanya kepada aset-aset yang lebih canggih serta hanya memperkukuh keupayaan peringkat konvensional.

Katanya, pasukan ketenteraan berhadapan dengan pelbagai jenis peperangan yang baru antaranya peperangan hibrid yang menggabungkan pelbagai bentuk ancaman seperti ketenteraan siber, propaganda, dan tekanan ekonomi secara serentak.

“Ataupun peperangan asimetrik di mana pihak yang lebih lemah menggunakan kaedah tidak konvensional untuk menandingi kekuatan pihak yang lebih besar.

“Mungkin kita boleh anggap negara kita ada jurang kelengkapan dengan negara-negara lain. Maka kita perlu menggunakan kaedah pendekatan peperangan asimetrik.

“Ataupun kita berhadapan dengan peperangan kognitif yang mensasarkan pemikiran persepsi dan keyakinan rakyat untuk memecah-belahkan masyarakat. Angkatan Tentera Malaysia tidak boleh bergerak dengan berkesan dalam keadaan negara tidak stabil, rakyat huru-hara,” katanya lagi.

Justeru, bagi menghadapi situasi berkenaan, beliau berkata, semua anggota harus bersedia untuk belajar meningkatkan keupayaan diri dan berubah mengikut keperluan pertahanan semasa.

Sementara itu, menerusi penutup Program Jelajah Wira LTAT 2026 : Edisi Pantai Timur hari ini turut menyaksikan pelancaran Program Kem Santuni MADANI 2026 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM600,000.

Inisiatif kebajikan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan ini dijangka akan memanfaatkan lebih 6,500 keluarga ATM di kem-kem terlibat iaitu Kem Desa Pahlawan, Kelantan; Pengkalan Udara Kuantan, di sini; Kem Seri Pantai, 18 RAMD (Para), Terengganu; Kem Sungai Udang, Melaka serta KD Sultan Ismail dan Kem Mahkota Kluang di Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast