JOHOR BAHRU – Keputusan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan noktah kepada perjuangan untuk rakyat.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, usaha dan perjuangan menyantuni rakyat akan tetap diteruskan.
“Keputusan pilihan raya bukanlah noktah kepada perjuangan. Sebaliknya, ia menjadi satu pengalaman yang amat berharga untuk kita melakukan muhasabah, memperkukuhkan organisasi dan menyusun gerak kerja dengan lebih tersusun bagi menghadapi cabaran yang akan datang.
“Kekuatan sesebuah perjuangan bukan hanya diukur melalui kemenangan pilihan raya, tetapi melalui kesetiaan, keikhlasan dan kesanggupan untuk terus berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BPN Bersatu Johor menyeru seluruh jentera agar terus kekal bersemangat, bersatu hati dan tidak mudah berputus asa.
Katanya, usaha mendekati rakyat, mendengar denyut nadi mereka serta memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab akan diteruskan demi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa terbela.
BPN Johor merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera, petugas, sukarelawan, penyokong serta semua pihak yang bertungkus-lumus mengerah tenaga, masa dan pengorbanan sepanjang menghadapi PRN Johor ke-16.
“Walaupun kita berdepan pelbagai cabaran, kekangan dan tekanan sebagai pembangkang, saudara dan saudari tetap istiqamah turun ke lapangan, menyantuni rakyat serta mempertahankan prinsip perjuangan demi agama, bangsa, tanah air dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
BPN Bersatu Johor yakin bahawa dengan kesatuan, disiplin dan iltizam yang tinggi, perjuangan ini akan terus subur dan mendapat tempat di hati rakyat.
“Terima kasih kepada seluruh jentera PRN Johor Ke-16. Teruskan perjuangan. Teruskan berkhidmat. Demi Johor yang lebih baik dan masa depan rakyat yang lebih Sejahtera,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu.
Pada PRN Johor ke-16, Bersatu tewas semua 16 kerusi DUN ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi Dr Sahruddin.
Berdasarkan keputusan PRN Johor ke-16, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette















