Dua bom mortar yang dibawa wanita tersebut telah diserahkan kepada UPB untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

BUTTERWORTH –  Polis meminta orang ramai tidak mensensasikan kes penemuan dua bom mortar latihan di sebuah rumah di Taman Bagan di sini sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kedua-dua objek berkenaan telah diserahkan kepada Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Hasryman Osman di talian 04 576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita bawa ‘bom’ dijumpai masa kemas rumah ke balai polis

Mengulas mengenai kejadian, Anuar berkata, seorang wanita tempatan hadir ke Balai Polis Butterworth selepas menemui dua objek menyerupai bom semasa mengemas stor rumah mendiang bapanya yang telah meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Katanya, wanita terbabit membawa kedua-dua objek berkenaan ke balai polis ketika membuat laporan.

“Siasatan awal mendapati rumah tersebut sebelum ini didiami oleh mendiang bapa bersama ibunya yang berusia lingkungan 60 tahun.

“Selain itu, stor berkenaan juga digunakan untuk menyimpan barang-barang lama milik mendiang bapanya sejak 20 tahun lalu dan rumah itu tidak lagi didiami sejak bapanya meninggal dunia.

“Susulan itu, UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan kedua-dua objek itu ialah bom mortar latihan milik tentera yang tidak mengandungi bahan letupan serta tidak mendatangkan sebarang bahaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast