MELAKA – Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa perbuatan cabul seorang lelaki sebelum suspek berjaya diberkas polis ketika sedang membawa mangsanya yang kesembilan di Duyong di sini.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, suspek berasal dari luar Duyong itu ditahan hasil tindakan pantas polis selepas menerima maklumat daripada penduduk dan mangsa.
Menurutnya, aduan awal diterima beberapa hari lalu yang memaklumkan beberapa murid sekolah rendah dipercayai dicabul lelaki terbabit namun sebahagian mangsa dikatakan takut untuk menceritakan kejadian kepada ibu bapa masing-masing.
“Satu sesi mendapatkan maklumat daripada mangsa kemudian diadakan dengan kehadiran anggota Balai Polis Kandang, wakil persatuan penduduk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ibu bapa.
“Ketika sesi itu berlangsung, suspek secara kebetulan melalui kawasan berkenaan dengan menaiki motosikal sambil membawa seorang lagi kanak-kanak yang dipercayai berasal dari Telok Mas.
“Polis terus mengejar dan menahan suspek,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd Noor Helmy, sekurang-kurangnya lapan laporan polis telah dibuat berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, suspek telah dibawa ke mahkamah sebelum dibenarkan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan yang diserahkan sepenuhnya kepada Polis Melaka.
“Perkongsian kronologi kejadian ini dibuat bagi mengurangkan kegusaran orang ramai sekiranya kes berkenaan tular di media sosial,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Awam (HEA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ketika dihubungi memaklumkan sedang melakukan semakan kes berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan media sebaik mendapat maklumat lengkap. – MalaysiaGazette
















