KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggesa pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya menyertai Program Repatriasi Migran (PRM 2.0) yang berlangsung sehingga 30 Mei tahun depan.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, program itu memberi peluang kepada warga asing tanpa dokumen sah untuk pulang ke negara asal mereka mengikut saluran yang ditetapkan.
Bercakap pada sidang media hari ini, beliau turut meminta orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurutnya lagi, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kedaulatan negara dan keselamatan awam terus terpelihara.
Hamsha memberitahu, pihaknya merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM10.04 juta membabitkan pelbagai kesalahan imigresen sehingga 30 Jun lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penguat kuasa yang terlibat dan pihak media atas kerjasama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette
















