KUANTAN – Polis menerima tujuh laporan kejadian curi barang kemas di Kuil Siva Subraniam, Raub semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa menghadriri upacara sembahyang sempena ulang tahun kuil terbabit pagi semalam.
“Salah seorang mangsa memaklumkan telah kehilangan seutas rantai leher emas berserta loket emas yang dipakai olehnya ketika acara berlangsung dan pihak polis turut menerima enam lagi laporan berkaitan perkara sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas laporan tersebut, Mohd Shahril berkata, pihaknya menjalankan siasatan di tempat kejadian dan merakam keterangan saksi-saksi berkaitan.
Katanya, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















