Seorang remaja lemas di Sungai Senibong berhampiran Taman Bayu, Senibong di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja yang hilang ketika mandi bersama-sama rakan di Sungai Senibong berhampiran Taman Bayu, Senibong di sini ditemui petang semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan I Saiful Bahari Mahpop berkata, mangsa yang berusia 14 tahun ditemui pada kedudukan 20 meter dari tebing sungai.

“Mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) pada kedalaman 6 meter. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang semalam, mangsa hilang manakala seorang lagi berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Sebelum itu mereka dikatakan mandi Sungai Senibong sebelum seorang daripadanya tenggelam dan hilang.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) yang memenangi kerusi DUN Johor Jaya, Chan San San turut ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan.

“Semalam pada waktu petang, saya menerima maklumat berkaitan dua remaja lemas dan saya segera bergerak ke lokasi kejadian.

“Seorang mangsa iaitu remaja lelaki dilaporkan stabil manakala seorang lagi lemas.

“Pada pagi ini saya menziarahi keluarga arwah di HSI bagi memberikan sokongan moral.

“Semoga keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, menerusi perkongsian di akaun Facebook San San turut berkongsi ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Mangsa dikenali sebagai Danish merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 1.

Menurut sumber, arwah ke lokasi bersama-sama sekumpulan rakannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast