PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan berpendirian, tiada keterangan menunjukkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendapat manfaat peribadi daripada pengeluaran RM1 juta dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mahupun dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, keterangan dua saksi pendakwaan sebaliknya menunjukkan pengeluaran wang RM1 juta itu digunakan bagi melaksanakan program Armada.
Ketika membacakan keputusan majoriti 2-1, beliau berkata, pengurusan tertinggi Armada dikenali sebagai `G5′ menyatakan wang itu dikeluarkan bagi tujuan kebajikan sempena bulan Ramadan, sambutan Hari Raya serta bantuan Covid-19.
“Berdasarkan keterangan yang dikemukakan bahawa wang tersebut diagihkan untuk program-program Armada, jadi tidak boleh dikatakan bahawa ia dilakukan akibat didorong oleh niat tidak jujur.
“Oleh yang demikian, kesalahan prinsipal iaitu pecah amanah tidak dapat dipertahankan kerana wang RM1 juta yang dikeluarkan oleh saksi pendakwaan ke-13, tidak disalahguna sebaliknya digunakan secara sah untuk program Armada,” ujar beliau ketika membacakan penghakiman ringkas setebal 33 muka surat.
Sehubungan itu, Hakim Collin bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat dengan SP13 melakukan pecah amanah wang RM1 juta.
Beliau selanjutnya menyatakan, penghakiman majoriti turut berpendirian, pengeluaran RM1 juta itu tidak wajar dikatakan telah digunakan atau dilupuskan dengan cara yang melanggar undang-undang.
Menurutnya, pengeluaran dana yang dilakukan menerusi Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13) menepati Perlembagaan Bersatu.
Berkaitan pertuduhan kedua iaitu salah guna harta RM120,000, beliau berpendirian, Mahkamah Rayuan betul ketika memutuskan tiada bukti menunjukkan wang itu disalah guna oleh Syed Saddiq.
Menurut beliau, panel bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa wang tersebut milik Syed Saddiq dan telah digunakan untuk kempen pilihan raya.
Wang itu yang kemudiannya dianggap oleh Syed Saddiq sebagai bayaran balik bagi jumlah RM170,000 yang telah dibelanjakan semasa kempen beliau.
“Berdasarkan pemerhatian Mahkamah Rayuan, wajar bagi panel itu menyimpulkan bahawa oleh kerana responden telah menanggung perbelanjaan kempen yang dibayar terlebih dahulu, beliau menganggap perbelanjaan tersebut layak dibayar balik menggunakan dana yang masuk ke dalam akaun iaitu dana daripada penderma yang menyumbang kepada usaha kempen beliau.
“Keterangan SP13 menunjukkan wang kutipan RM120,000 kemudian dipindahkan dari akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke dalam akaun peribadi responden,” ujarnya.
Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan betul ketika mendapati tiada bukti yang menunjukkan bahawa wang tersebut adalah milik ABBE atau Armada.
“Berdasarkan keterangan yang diberikan, PW13 juga tidak pernah menyatakan bahawa wang berjumlah RM120,000.00 itu adalah milik ABBE,” kata beliau.
Dalam penghakimannya, Hakim Collin turut menyentuh mengenai dakwaan Syed Saddiq bahawa saksi-saksi pendakwaan menerima tekanan supaya memberi keterangan memihak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam hal ini, beliau berpendapat, tekanan yang tidak wajar tidak dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi ketika mensabit dan menghukum Syed Saddiq.
Menyentuh pertuduhan pengubahan wang haram, Hakim Collin berpendapat, oleh kerana pertuduhan predikat iaitu bersubahat pecah amanah tidak dapat dibuktikan, maka pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Syed Saddiq tidak dapat dipertahankan. – MalaysiaGazette
















