Kerja pemasangan beach container telah bermula pada 8 Julai lalu dan dijangka siap pada 10 Ogos depan.

GEORGE TOWN – Kerja mitigasi hakisan pantai di kawasan berhadapan Hotel Lone Pine, Batu Ferringhi di sini, menggunakan beg pasir dijangka mampu mengawal hakisan pantai bagi tempoh antara dua hingga tiga tahun, sementara menunggu pelaksanaan projek perlindungan pantai jangka panjang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, langkah mitigasi jangka sederhana yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bertujuan mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai, mengawal kadar hakisan serta melindungi kawasan yang dikenal pasti mengalami hakisan paling kritikal.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian teknikal JPS, keberkesanan kaedah itu bergantung kepada keadaan cuaca, ombak, pasang surut air laut serta kejadian cuaca ekstrem.

“Kerja pemasangan beg pasir itu telah bermula pada 8 Julai lalu dan dijangka siap pada 10 Ogos depan.

“Manakala bagi projek perlindungan pantai jangka panjang yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pula, kini berada dalam fasa pelantikan perunding bagi menyediakan reka bentuk terperinci sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.

“Cadangan projek itu merangkumi pembinaan struktur perlindungan pantai termasuk struktur outfall, struktur perlindungan hakisan pantai dan kaedah pemulihan pantai (beach nourishment), tertakluk kepada hasil kajian serta reka bentuk akhir oleh perunding yang dilantik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas pelaksanaan kerja mitigasi, Zairil berkata, projek itu berdepan beberapa cabaran termasuk keadaan pasang surut air laut yang mengehadkan tempoh kerja harian, keadaan ombak dan cuaca yang tidak menentu serta kekangan laluan keluar masuk jentera berat ke kawasan pantai.

Beliau berkata, kelewatan pelaksanaan kerja dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan hakisan menjadi lebih serius dan merebak ke daratan sehingga menjejaskan struktur kekal, kemudahan awam serta infrastruktur berhampiran pantai.

Jelasnya, kos keseluruhan kerja mitigasi berkenaan ialah RM500,000 yang meliputi kerja pembersihan tapak, pemotongan pokok tumbang dan pemasangan beach container di kawasan hakisan paling kritikal.

“Sebanyak 62 beg pasir akan dipasang secara lima lapisan dengan ketinggian kira-kira lima meter, meliputi kawasan sepanjang 44 meter di hadapan Pantai Batu Ferringhi yang mengalami hakisan paling serius.

“Kerajaan Negeri dan JPS memberi jaminan pelaksanaan kerja mitigasi itu dirancang dengan mengambil kira aspek keselamatan pengunjung, kelangsungan aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

“JPS akan terus memantau pelaksanaan kerja bagi memastikan impak terhadap aktiviti pelancongan dan alam sekitar berada pada tahap minimum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast