Usul berkenaan mendapat undian sebanyak 23 menyokong dan lima tidak menyokong daripada keseluruhan 28 ADUN pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di Seri Negeri, Melaka hari ini.

MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bagi melantik tidak melebihi tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.

Usul berkenaan mendapat undian sebanyak 23 menyokong dan lima tidak menyokong daripada keseluruhan 28 ADUNpada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di Seri Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, usul berkaitan perkara berkenaan dikemukakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan disokong oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Ab Rauf, ketika mencadangkan usul berkenaan berkata, ia dibuat dibuat berdasarkan kepada lima faktor termasuk memperkukuhkan representasi dalam DUN.

“Ia juga bagi memberikan ruang kepada kumpulan yang kurang diwakili, meningkatkan kualiti perbahasan dan semak imbang, menyokong agenda pembangunan negeri serta selaras dengan amalan di beberapa negeri lain.

“Pelantikan ADUN lantikan membolehkan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dalam bidang tertentu seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi, dan pembangunan negeri menyumbang secara langsung pada proses penggubalan dasar serta perbahasan di DUN.

“Ia juga boleh meningkatkan penyertaan golongan wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional, wakil sektor industri yang mungkin tidak berjaya melalui proses pilihan raya tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika membentangkan usul rang undang-undang berkenaan.

Usul berkenaan kemudiannya dibahaskan oleh tiga ADUN iaitu dua daripada kerajaan dan seorang daripada pembangkang sebelum digulung oleh Ketua Menteri.

Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub dalam perbahasan usul berkenaan berkata, pembangkang menyokong usul berkenaan kerana melihat ia mempunyai nilai kepada pembangunan institusi DUN jika dilaksanakan dengan niat yang betul, mekanisme yang telus dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Namun, sokongan kami bukanlah cek kosong. Sokongan kami datang bersama tanggungjawab, bersama teguran, dan bersama beberapa syarat moral yang saya harap kerajaan dapat beri perhatian,” katanya.

Beliau berkata, mengambil contoh di peringkat Persekutuan, sistem pelantikan ahli Dewan Negara atau senator bertujuan melantik membolehkan individu-individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman, dan jasa kepada negara turut menyumbang kepada proses penggubalan undang-undang.

“Mereka mungkin tidak memenangi jentera politik, tetapi mereka mempunyai pengalaman yang sangat bernilai untuk membantu proses penggubalan dasar dan undang-undang.

“Prinsip yang sama boleh diaplikasikan di peringkat negeri, dan sebab itulah saya melihat cadangan ahli dilantik memberi asas yang kukuh,” katanya.

Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka untuk melantik ADUN lantikan merupakan antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) di bawah Teras Kestabilan Politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast