TEHRAN – Iran menegaskan negara itu sentiasa dan akan kekal sebagai ‘penjaga’ yang sah Selat Hormuz – laluan perairan antarabangsa yang sangat penting.
“POTUS (Presiden Amerika Syarikat) sememangnya betul. Sesiapa yang menyediakan laluan selamat dan terjamin untuk kapal-kapal perdagangan melalui Selat Hormuz seharusnya diberi pampasan atas perkhidmatan itu.
“Iran sentiasa menjadi PENJAGA Selat Hormuz dan akan kekal begitu SELAMANYA,” tulis Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam hantaran di akaun X miliknya.
Tambahnya, caj sebanyak 20 peratus yang akan dikenakan AS terlalu tinggi.
“20 peratus sudah tentu terlalu banyak. Kami akan bersikap adil,” tambah Araghchi.
Beliau membalas tulisan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Amerika akan mengenakan kembali sekatannya terhadap kapal-kapal Iran yang melintasi Selat Hormuz dan menuntut pembayaran balik 20 peratus untuk semua kargo lain yang dihantar melalui laluan air itu.
“Selat Hormuz TERBUKA, dan akan kekal TERBUKA, dengan atau tanpa Iran. Kami sedang mengembalikan semula SEKATAN IRAN,” kata Trump menerusi Truth Social.
Jelas Trump lagi, semua negara lain akan terus menikmati penggunaan Selat Hormuz secara bebas dan terbuka. – Agensi
















