TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam beberapa kenyataan berasingan mendakwa telah memusnahkan beberapa kemudahan dan aset ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dalam satu lagi siri operasi sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan musuh ke atas Iran, lapor IRNA.
Bahagian Perhubungan Awam IRGC dalam satu kenyataan awal pada hari Selasa, beberapa depoh senjata, sebuah pusat komunikasi satelit serta kediaman anggota tentera AS di Bahrain menjadi sasaran dalam gelombang kedua Operasi Nasr-2 (Triumph-2).
IRGC mendakwa, pasukan tentera lautnya melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Pangkalan Tentera Laut Juffair di Bahrain selepas tentera AS mengebom kawasan pesisir pantai selatan Iran susulan kegagalan mereka di Selat Hormuz pada malam sebelumnya.
Dalam satu lagi kenyataan pada hari yang sama, IRGC juga mendakwa telah memusnahkan radar sistem pertahanan udara Patriot, radar kawalan udara dan sistem amaran awal C-RAM milik Armada Kelima Tentera Laut AS yang berpangkalan di Bahrain.
Menurut kenyataan itu, serangan peluru berpandu dan dron Iran turut menyebabkan tangki bahan api armada AS terbakar serta mengakibatkan kerosakan lain, termasuk kemusnahan sepenuhnya pusat kawalan dan pemantauan bot tanpa pemandu milik musuh.
Secara berasingan, IRGC memaklumkan tentera lautnya turut menyerang dua kapal tangki minyak gergasi (supertanker) kerana didakwa melanggar peraturan pelayaran yang ditetapkan Iran ketika melalui Selat Hormuz.
IRGC menegaskan, Angkatan Tentera Iran kekal komited mempertahankan hak negara itu di laluan perairan strategik berkenaan, sambil mendakwa kedua-dua kapal tangki tersebut diserang selepas tentera AS cuba membawa beberapa kapal melalui laluan yang dianggap tidak sah.
Menurut IRGC, dua kapal tangki berkenaan didakwa dipengaruhi AS untuk mematikan sistem navigasi mereka serta mengabaikan amaran berulang kali daripada Pusat Kawalan Keselamatan Maritim Selat Hormuz sebelum diserang dan dilumpuhkan.
IRGC turut memberi amaran mana-mana pihak yang bekerjasama dengan pihak yang didakwanya sebagai penceroboh dari luar rantau itu akan berdepan akibat buruk, termasuk kerugian, kelewatan pembukaan semula Selat Hormuz serta berpotensi mencetuskan krisis tenaga di peringkat global. – Agensi
















