Gambar fb Anwar Ibrahim

KUALA PILAH – Projek pembangunan pelabuhan berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bernilai kira-kira RM3.4 bilion di Pasir Panjang, Port Dickson dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek yang akan dibangunkan di kawasan seluas 1,400 ekar itu dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan apabila siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, pembangunan itu melibatkan kerjasama pihak swasta dengan Invest Negeri Sembilan dan akan dijadikan kawasan perindustrian bebas cukai bagi menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi.

“Ini merupakan antara projek strategik yang bakal mengubah landskap ekonomi Negeri Sembilan dan memberi limpahan manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam ini.

Menurutnya, Negeri Sembilan kini mempunyai 11 kawasan perindustrian yang menjadi pemangkin kepada kemasukan pelabur, manakala projek baharu di Port Dickson akan memperkukuhkan lagi kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama.

Beliau berkata, kejayaan menarik pelaburan bukan hanya bergantung kepada insentif yang ditawarkan, sebaliknya memerlukan sebuah kerajaan yang stabil serta dasar yang konsisten.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui pelaksanaan program pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) secara percuma bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi permintaan industri baharu.

Beliau berkata, pelaburan yang dibawa masuk perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat serta hasil negeri yang akhirnya dapat dinikmati seluruh masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast