KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua tahun diburu, polis akhirnya berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah unit kondominium di Jalan Dua, Chan Sow Lin di sini pada Mac 2024.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek warga tempatan berusia lewat 20an itu ditahan hasil maklumat risikan berterusan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Menurutnya, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari pada 10 Julai lalu di tepi Jalan Sungai Jelok, Kajang, Selangor.
Polis turut merampas sehelai seluar jeans dan sepasang kasut yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian samun berkenaan, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 11 Julai hingga 17 Julai bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette
















