PUTRAJAYA – Penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan semalam menyatakan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan bersubahat pecah amanah RM1 juta dana Armada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali berpendapat, ini kerana pesalah utama yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Rafiq Hakim Razali tidak didakwa di mahkamah bagi membuktikan kesalahan pecah amanah telah dilakukan.
Ujar beliau, pihak pendakwaan sendiri memilih untuk tidak mendakwa SP13 (ketika kejadian berjawatan Penolong Bendahari Armada) di bawah pertuduhan pecah amanah.
Menurut beliau, pihak pendakwaan mengakui bahawa SP13 memang melakukan pecah amanah namun beliau tidak akan melakukan perbuatan itu tanpa arahan Syed Saddiq.
“Bagi pertuduhan bersubahat, Syed Saddiq tidak boleh dikatakan telah bersubahat dengan pesalah utama (SP13) walhal kesalahan beliau (SP13) tidak terbukti sejak awal lagi.
“Namun bagaimana untuk menentukan bahawa Syed Saddiq telah melakukan persubahatan walhal pesalah utama tidak didakwa di mahkamah.
“Walau betapa kuat dan serius sekalipun syak wasangka terhadap tertuduh, ia sama sekali tidak boleh menggantikan pembuktian melalui prosiding jenayah,” ujar beliau.
Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan demikian ketika membacakan penghakiman majoriti 2-1 sewaktu membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Beliau bersama-sama seorang lagi ahli panel bersidang, Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan akhir pendakwa raya manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais mencapai keputusan menentang bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.
Berkaitan pertuduhan kedua iaitu salah guna wang sebanyak RM120,000, Hakim Che Mohd. Ruzima selanjutnya menyatakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang yang didakwa disalahguna itu, sebenarnya milik akaun Armada Bumiputra Bersatu Enterprise (ABBE).
Menyentuh isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau tidak bersetuju dengan hujahan pendakwa raya bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat `tuduhan melulu’ terhadap terhadap pihak pendakwaan atau agensi berkenaan.
“Saya berpendapat Mahkamah Rayuan telah merujuk, menganalisis dan meneliti segala keterangan material yang berkaitan dengan isu berkenaan sebelum membuat dapatan fakta bahawa mungkin terdapat kebenaran dalam hujahan pihak pembelaan berhubung keterangan SP13 terhadap Syed Saddiq.
“Berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa kes pendakwaan, Mahkamah Rayuan betul apabila bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan bahawa keterangan SP13 mungkin telah disesuaikan bagi memenuhi kehendak SPRM.
“Oleh yang demikian, dakwaan pendakwa raya bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat ‘tuduhan melulu’ adalah tidak berasas dan tidak wajar,” katanya. – MalaysiaGazette

















kalau ini keadaannya bagaimana 0ula dengan kes dsnr