KUANTAN – Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ bersama seorang pembantu peribadi direman selama empat hari sehingga 18 Julai ini kerana disyaki memalsukan dokumen dan menyalahguna identiti rasmi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ellyna Othman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurut pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, dokumen dipalsukan itu dipercayai melibatkan surat sokongan pelantikan pengurusan tanah di negeri ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia, 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Cyberjaya kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu.
“Perbuatan suspek terbongkar selepas Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang (pengadu) ditunjukkan beberapa dokumen menggunakan kepala surat Unit Tengku Mahkota Pahang, nama serta tanda tangan pengadu oleh seorang individu ketika berada di di Pejabat Majlis Kesultanan Pahang, Pekan, pada 8 Julai lalu.
“Individu itu mendakwa menerima dokumen tersebut daripada seorang suspek bergelar Dato’ termasuk surat tawaran dan surat pelantikan yang kononnya dikeluarkan atas perkenan Tengku Mahkota Pahang,” katanya.
Azry Akmar berkata, hasil semakan, pengadu mengesahkan dokumen tersebut bukan dikeluarkan secara rasmi oleh Unit Tengku Mahkota Pahang manakala nama serta tanda tangan pengadu digunakan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, pengadu kemudian mempersembahkan perkara tersebut kepada Tengku Mahkota Pahang dan baginda telah bertitah supaya laporan polis dibuat serta siasatan dijalankan dengan segera.
Ia kerana, perkara tersebut melibatkan penyalahgunaan identiti rasmi Institusi Diraja Negeri Pahang yang boleh menjejaskan kewibawaan Institusi berkenaan.
“Susulan itu, Setiausaha Sulit baginda telah membuat laporan polis pada 10 Julai lalu berhubung penggunaan dokumen yang disyaki menggunakan Jata Diraja, nama Unit Tengku Mahkota Pahang, nama serta tandatangan pengadu tanpa kebenaran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















