KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes menyerang dan mencederakan dua jirannya di Kampung Baru Kundang, Rawang, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian pada 8.30 malam itu, suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk telah meluru masuk ke kawasan hadapan rumah jirannya sebelum membuat kekecohan.
“Ketika kekecohan berlaku, suspek bertindak menyerang ahli keluarga jirannya menggunakan objek tajam yang menyebabkan dua mangsa cedera dan dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan laporan polis dibuat keluarga mangsa pada keesokannya (Ahad), polis berjaya menahan suspek pada pada 12 tengah hari tadi serta merampas beberapa barang kes.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 447 kanun sama kerana menceroboh.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat Insp Amirul Ashyraf Abu Hassan melalui talian 019-3491233 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-6126 2222 untuk membantu siasatan. – BERNAMA
















