Mohd Sharuf Nizam Mohd Hanif (Dua dari kiri) dan S. Guna (dua dari kanan) selepas didakwa di Mahkamah Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelbagai barangan berharga, bulan lalu.

Majistret Ellyna Othman memerintahkan tertuduh, S. Guna, 33, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 3 Julai lalu selain hukuman penjara tambahan selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bapa kepada tiga anak itu, yang merupakan pemegang kad OKU kerana mengalami kecacatan pada tangan, didakwa bersama seorang warga Myanmar, Mohd Sharuf Nizam Mohd Hanif, 26, serta seorang lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa bersama-sama memecah masuk sebuah rumah di Jalan Bukit Setongkol di sini kira-kira pukul 9.58 pagi pada 25 Jun lalu sebelum mencuri seutas rantai emas, gelang emas, beberapa loket emas dan sebuah telefon bimbit.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B. Deevagaran Naidu manakala Guna diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rahiza Zulkifli.

Dalam rayuannya, Rahiza memohon hukuman minimum dengan alasan anak guamnya menganggur dan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, Deevagaran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi pengajaran memandangkan mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM3,000 terhadap Guna.

Sementara itu, Mohd Sharuf Nizam yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin, namun peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi memohon jumlah lebih rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat pelupusan sisa hanya berpendapatan RM1,400 sebulan dan perlu menyara isteri serta anak-anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast