Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 202 yang melibatkan aspek keselamatan negara disifatkan tepat pada masanya bagi menghadapi ancaman baharu termasuk serangan siber dan digital yang semakin kompleks.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, cadangan memasukkan subseksyen 202(1A) bagi memperkenalkan kategori tambahan berkaitan pemberian perkhidmatan sejagat untuk tujuan pemeliharaan keselamatan negara adalah langkah yang wajar dan perlu disokong.

Menurut beliau, ancaman terhadap negara ketika ini tidak lagi terhad kepada serangan ketenteraan konvensional seperti peluru berpandu, dron atau senjata berat, sebaliknya turut datang dalam bentuk serangan siber yang mampu menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

“Perkataan penting dalam pindaan ini ialah keselamatan negara. Ancaman hari ini bukan sahaja berbentuk fizikal, tetapi juga melalui dunia digital yang semakin berkembang pesat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hassan berkata, Malaysia kini muncul sebagai antara destinasi utama pelaburan pusat data (data center) di Asia Tenggara dengan Johor, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi tumpuan syarikat-syarikat teknologi antarabangsa.

Sehubungan itu beliau menegaskan, aspek keselamatan digital perlu diberi perhatian serius bagi memastikan infrastruktur strategik negara tidak terdedah kepada sebarang ancaman luar.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan berhubung operasi sebuah institusi dikenali sebagai Network School di Forest City, Johor.

Menurutnya, terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan kewujudan elemen yang boleh menjejaskan keselamatan negara sekiranya institusi tersebut disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan pengumpulan data atau merekrut individu yang berpotensi mengancam kepentingan negara.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menilai risiko keselamatan yang mungkin timbul daripada operasi institusi berkenaan.

“Jika terdapat unsur yang boleh mengancam keselamatan negara, terutama melibatkan lokasi strategik seperti Selat Melaka, maka perkara ini perlu dipantau dan diteliti dengan serius oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pindaan Akta 588 adalah penting bagi memastikan keselamatan siber, kedaulatan negara dan kepentingan strategik Malaysia terus terpelihara dalam era digital yang semakin mencabar. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast