Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2026.

JIKA ada satu mesej politik yang paling jelas disampaikan Pakatan Harapan (PH) pada malam pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, ia adalah menghapuskan segala spekulasi mengenai siapa bakal menerajui negeri itu sekiranya gabungan berkenaan berjaya mempertahankan pentadbiran.

Datuk Seri Aminuddin Harun bukan sahaja diumumkan sebagai calon pertama oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah namanya turut diangkat secara terbuka oleh tiga lagi pemimpin tertinggi gabungan itu sebagai tokoh yang akan terus menerajui Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi PH merangkap Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan Aminuddin sebagai poster boy PH selain menegaskan beliau akan kekal sebagai Menteri Besar jika gabungan itu diberi mandat sekali lagi.

Mesej sama kemudian diulang Timbalan Pengerusi PH yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyifatkan Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min sebagai ‘panglima’ PH di Negeri Sembilan, manakala Pengarah Pilihan Raya PH merangkap Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari turut menamakan beliau sebagai ‘poster boy’ pilihan raya negeri kali ini.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2026.

Pengulangan mesej oleh empat pemimpin tertinggi daripada PKR, DAP dan Amanah bukan sekadar kebetulan, sebaliknya dilihat sebagai strategi komunikasi yang tersusun bagi memastikan isu calon Menteri Besar tidak lagi menjadi polemik sepanjang tempoh berkempen.

Langkah itu turut memberi gambaran PH mahu mengalihkan perhatian pengundi kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin Aminuddin sejak 2018, termasuk kejayaan menarik pelaburan, mengukuhkan kedudukan kewangan negeri serta memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan.

Antara pencapaian yang sering dijadikan sandaran ialah rekod pelaburan berjumlah RM19.1 bilion, peningkatan simpanan kerajaan negeri kepada RM1.3 bilion, pelaksanaan TVET percuma serta projek pembangunan baharu termasuk pelabuhan berteknologi kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson yang dijangka membuka ribuan peluang pekerjaan.

Apa yang turut membezakan Aminuddin ialah pendekatannya ketika berdepan kemelut politik membabitkan institusi adat Negeri Sembilan.

Walaupun kerajaan negeri masih mempunyai baki tempoh pentadbiran, beliau memilih membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya, berbanding mencari jalan untuk memanjangkan hayat pentadbiran.

Pendekatan itu kemudian dijadikan antara naratif utama PH apabila beberapa pemimpinnya menyifatkan PRN Negeri Sembilan sebagai medan untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat, membolehkan pengundi menentukan hala tuju kerajaan negeri.

Dari sudut politik, Aminuddin juga dilihat mempunyai satu kelebihan apabila diterima oleh semua parti komponen PH.

Tiada kenyataan bercanggah daripada mana-mana pemimpin utama PKR, DAP atau Amanah berhubung calon Menteri Besar, sebaliknya mereka tampil dengan mesej yang sama dan saling mengukuhkan kedudukan beliau.

Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) setakat ini masih belum mengumumkan secara terbuka siapakah yang akan diketengahkan sebagai wajah utama atau calon Menteri Besar sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.

Keadaan itu menyaksikan PH memasuki kempen dengan naratif kepimpinan yang lebih jelas berbanding pencabarnya.

Sudah tentu, pengumuman awal calon Menteri Besar tidak menjamin kemenangan pada hari pengundian. Namun dari sudut strategi politik, PH dilihat berjaya menutup satu isu yang sering menjadi perdebatan dalam pilihan raya, membolehkan kempen mereka memberi tumpuan kepada prestasi pentadbiran, kestabilan politik dan agenda pembangunan.

Akhirnya, keputusan tetap berada di tangan rakyat Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti.

Namun sekurang-kurangnya pada permulaan kempen, PH telah menghantar satu mesej yang sukar disalah tafsir bahawa jika gabungan itu terus diberi mandat mentadbir negeri, Aminuddin kekal menjadi pilihan mereka untuk menerajui Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast