Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penyakit diabetes jenis 2 kini dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia seawal usia 14 tahun, dengan seramai 1,932 pesakit berusia bawah 30 tahun direkodkan dalam Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR) pada 2025, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, angka itu meningkat sedikit berbanding 1,926 kes pada 2024, manakala sebanyak 660 kes baharu lagi direkodkan sehingga Jun tahun ini.

“Perkara ini amat membimbangkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan belia di Dewan Rakyat, hari ini.

Dzulkefly berkata, data daripada Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan 2025 menunjukkan daripada 347,813 individu berusia 18 hingga 30 tahun yang menjalani saringan, sebanyak 3.4 peratus didapati mempunyai paras gula darah tinggi manakala 8.8 peratus mengalami tekanan darah tinggi.

Katanya, keadaan itu berlaku walaupun 98.1 peratus daripada mereka tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit sebelum ini.

Menurut beliau, ramai golongan muda sebenarnya hidup dengan faktor risiko tersembunyi seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti tanpa menyedarinya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penyakit tidak berjangkit sebagai “pandemik senyap” yang lebih membimbangkan berbanding Covid-19.

“Jika Covid-19 meragut lebih 37,000 nyawa dalam tempoh dua tahun, penyakit tidak berjangkit pula menyebabkan kira-kira 94,000 kematian setiap tahun,” katanya.

Mengulas keberkesanan kempen kerajaan dalam memerangi obesiti dan pengambilan gula berlebihan, Dzulkefly berkata, beberapa petunjuk menunjukkan perubahan tingkah laku yang positif dalam kalangan rakyat.

Katanya, kadar pengambilan minuman berkarbonat setiap hari dalam kalangan remaja menurun daripada 36.9 peratus pada 2019 kepada 32.4 peratus pada 2024.

Selain itu, pengambilan keseluruhan minuman bergula turut merosot dengan ketara daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus dalam tempoh sama.

Beliau berkata, perkembangan positif itu didorong oleh pelaksanaan kempen Perang Melawan Gula serta cukai minuman bergula yang kini dinaikkan kepada 90 sen seliter.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menilai impak jangka panjang Pelan Strategik Mengurangkan Pengambilan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024–2030.

“Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh program literasi kesihatan dan menggalakkan pemakanan sihat bagi memastikan momentum ini dapat dikekalkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast