KUALA LUMPUR – Pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat berketurunan Malaysia, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal menjadi pemain terbaru memperkuatkan skuad Negeri Sembilan FC bagi musim 2026-27.
Pemain berusia 24 tahun ini telah ditandatangani Negeri Sembilan FC pada pertengahan musim lalu namun adik kepada Wan Kuzain ini dipinjamkan kepada UM Damansara United selama setengah musim.
Tempoh pinjaman itu menyaksikan Wan Kuzri mempamerkan kemampuannya untuk beraksi dalam kancah kedua bola sepak tanah air, Liga A1 Semi-Pro dengan tampil dalam kesemua 13 perlawanan selain berhasil meledak empat gol.
“Sepanjang tempoh pinjaman tersebut, beliau telah membuktikan kebolehannya dengan beraksi dalam kesemua 13 perlawanan dan berjaya meledak 4 gol sebelum melangkah ke kancah Liga Malaysia, kelab terakhir yang diwakilinya di Amerika
“Syarikat ialah Akron City FC, sebuah kelab yang beraksi di saingan USL League 2. Kini, Wan Kuzri kembali untuk menabur bakti sepenuhnya untuk memahat namanya di Paroi,” tulis kelab itu di media sosial.
Sebelum kembali ke Malaysia, Wan Kuzri beraksi dalam saingan USL League 2 bersama Akron City FC.
Wan Kuzri merupakan pemain ketujuh menyertai skuad bimbingan ketua jurulatih baharu, Daniel Gimenez selepas mengikat Ryaan Sanizal (Singapura), Rahman Daud (Malaysia-Itali), Raimi Shamsul, Hairiey Hakim, Umar Hakeem dan Alif Mutalib. – MalaysiaGazette
















