Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di antara parti anggota iaitu Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia susulan mesyuarat khas majlis tertinggi berkenaan yang diadakan hari ini.

“Mesyuarat khas itu juga bersetuju membenarkan penggunaan lambang ‘Perikatan Nasional’ oleh calon-calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, seperti mana yang telah dipersetujui,” jelasnya dalam kenyataan.

Merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Samsuri berkata, segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan.

“Ia di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional, dan telah pun dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada mesyuarat hari ini,” ujarnya.

Bagi tujuan PRN Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon PN, yang akan diumumkan hari ini adalah bagi membela kebajikan rakyat.

Selain itu, ia juga bagi mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya dan Malaysia amnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast