KUALA LUMPUR – Badan bebas First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa penilaian terhadap pematuhan kelab-kelab yang sebelum ini diberikan Lesen Kebangsaan dengan “Sanction” telah selesai dilaksanakan.

Pengerusinya, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, hasil penelitian dan semakan yang dijalankan, FIB mendapati bahawa Melaka FC, Star City FC dan Kuala Lumpur City FC telah memenuhi keperluan yang ditetapkan bagi tujuan penilaian Lesen Kebangsaan.

“Bagaimanapun, Malaysian Football League (MFL) telah menerima surat rasmi daripada PDRM FC yang memaklumkan keputusan kelab untuk menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super Malaysia musim 2026–2027.

“Sehubungan dengan itu, FIB telah mengambil maklum keputusan PDRM FC untuk menarik diri daripada saingan Liga Super Malaysia musim 2026–2027.

“Dengan keputusan tersebut, PDRM FC tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan Liga Super musim 2026–2027,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial MFL di sini hari ini.

Pada 26 Mei 2026, FIB telah mengumumkan untuk memberikan Lesen Kebangsaan dengan “Sanction” kepada empatkelab iaitu Melaka FC, Star City FC (yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC), Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC dengan merujuk kepada Artikel 8.2, Peraturan Pelesenan Kelab MFL.

Keempat-empat kelab tersebut turut diberikan tempoh sehingga 15 Julai 2026 untuk mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur.

Mengulas lanjut, Sheikh Mohd Nasir berkata, semua keputusan FIB dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap maklumat dan dokumentasi yang diterima serta selaras dengan ketetapan yang digariskan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Kitaran 2025–2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast