KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal cedera selepas dilanggar sebuah lori ketika cuba memotong di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Bangi Lama, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian sekitar jam 4.42 petang itu mangsa berusia 58 tahun mengalami cedera pada muka dan pipi.

“Siasatan awal mendapati, lori dipandu lelaki tempatan berumur 54 tahun dari Bandar Bukit Mahkota, Bangi menghala ke Setia Alam Sari.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit dipercayai mengelak sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran dengan motosikal mangsa sedang memotong melalui bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan yang kini dirawat di Zon Kuning dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sehubungan itu, beliau meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast