SEREMBAN – Senarai calon yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat menampilkan gabungan pengalaman serta muka baharu, sekali gus menjadikan persaingan kali ini lebih terbuka.
Ini kata penganalisis politik, Prof Dr Aluwi Sari berdasarkan pengalamannya terlibat dalam beberapa pilihan raya sejak 1989.
Katanya, kedua-dua gabungan mengambil pendekatan hampir sama apabila mengekalkan penyandang yang mempunyai rekod prestasi baik di samping memperkenalkan calon profesional dan golongan muda.

“PH masih mengekalkan beberapa tokoh yang mempunyai rekod prestasi serta pengaruh di kawasan masing-masing, termasuk Anthony Loke di Chennah dan beberapa penyandang lain.
“Strategi ini memberi kelebihan kerana mereka sudah dikenali pengundi.
“Pada masa sama, kemunculan calon muda dan profesional berpotensi menarik sokongan pengundi yang mahukan pembaharuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bagaimanapun, beliau berkata, PH tetap berdepan cabaran susulan prestasi kurang memberangsangkan pada PRN Johor, baru-baru ini.
Menurutnya, momentum tersebut boleh memberi kesan terhadap sebahagian pengundi sekiranya isu nasional lebih dominan berbanding isu tempatan sepanjang tempoh berkempen.
Mengulas mengenai BN, Aluwi berkata, gabungan itu banyak mempertaruhkan pemimpin akar umbi serta tokoh berpengalaman daripada UMNO, MCA dan MIC, termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, BN turut memiliki kelebihan dari segi jentera pilihan raya yang tersusun, pengalaman berkempen serta kemampuan menggerakkan kempen digital secara lebih agresif.
“Prestasi cemerlang BN pada PRN Johor dijangka meningkatkan keyakinan penyokong mereka menjelang PRN Negeri Sembilan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, peluang kemenangan calon tidak boleh dinilai berdasarkan populariti semata-mata kerana beberapa faktor lain turut memainkan peranan penting.
Antaranya, jelas beliau, kekuatan peribadi calon di kawasan, rekod perkhidmatan kepada rakyat, isu tempatan, keberkesanan kempen serta jentera parti, selain kadar keluar mengundi penyokong setiap gabungan.
“Tidak semua calon popular akan menang dan tidak semua muka baharu akan kalah. Dalam pilihan raya di Malaysia, faktor tempatan sering menjadi penentu yang sangat penting,” katanya.
Aluwi berkata, sebagai kerajaan negeri, PH mempunyai kelebihan untuk mengetengahkan rekod pentadbiran dan isu-isu tempatan sepanjang kempen.
Beliau turut berpandangan bahawa isu berkaitan krisis politik negeri yang menyentuh sokongan terhadap Menteri Besar serta polemik melibatkan institusi adat berpotensi dijadikan antara naratif kempen sekiranya berjaya diterjemahkan dengan berkesan kepada pengundi.
“Pada akhirnya, kedua-dua gabungan telah memilih calon yang mempunyai potensi untuk menang. Namun, kemenangan tidak boleh diukur berdasarkan nama calon semata-mata.
“Pengundi hari ini lebih cenderung menilai prestasi, integriti, kemampuan menyelesaikan masalah rakyat serta keserasian calon dengan keperluan kawasan yang ditandingi.
“Calon yang paling berjaya meyakinkan rakyat melalui rekod, kredibiliti dan kempen yang berkesan mempunyai peluang lebih cerah untuk dipilih,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pengundi muda, khususnya mereka yang pertama kali mengundi, sebagai kelompok yang berpotensi menentukan keputusan PRN kali ini.
“Siapa yang paling bijak menawan hati pengundi, khususnya anak muda dan pengundi kali pertama, mempunyai kelebihan untuk muncul sebagai pemenang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















