PETALING JAYA – Setakat ini, hanya 34 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti menandatangani dokumen menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta institusi SPRM.
Sekretariat RCINOW memaklumkan, sokongan itu diperoleh selepas pihaknya memasuki minggu kedua menghantar memorandum kepada Parlimen bagi mendesak penubuhan RCI berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut Pengarah Eksekutif Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Asraf Sharafi, 34 Ahli Parlimen terbabit terdiri daripada wakil PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, STAR, UPKO dan seroang wakil Parti Wawasan Negara (Wawasan), namun masih terdapat Ahli Parlimen yang ditemui enggan menandatangani dokumen sokongan tersebut.
“Setakat tiga hari lepas dalam pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen bagi menerangkan isu ini, seramai 34 orang Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik telah berani menandatangani dokumen menyokong penubuhan RCI Mafia Korporat.
“Malangnya, ada juga Ahli Parlimen yang kami bertemu tetapi masih enggan memberi sokongan dengan menandatangani dokumen menyokong penubuhan RCI ini,” menurut beliau dalam sidang media di pejabat Bersih, pagi ini.
Turut hadir Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz dan Pengelaras Mandiri, Wong Kukui.
Sekretariat RCINOW itu berkata, sokongan merentas parti itu membuktikan isu integriti institusi, pembanterasan rasuah dan akauntabiliti kerajaan bukan agenda mana-mana parti, sebaliknya melibatkan kepentingan awam.
“Kita akan hantar ke Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri-menteri dalam kerajaan.
“Kita tak sempat jumpa lagi dengan Perdana Menteri,” katanya lagi.
Menurutnya, pihak sekretariat akan terus menghubungi Ahli Parlimen lain sama ada melalui e-mel rasmi atau dengan mengunjungi pejabat mereka di kawasan bagi mendapatkan lebih banyak sokongan.
Pada masa sama, pihaknya berharap media turut mendapatkan pendirian setiap Ahli Parlimen termasuk anggota Kabinet berhubung cadangan penubuhan RCI itu supaya rakyat mengetahui siapa yang menyokong atau menolak usaha berkenaan.
Menurut senarai yang diperoleh, seramai 34 Ahli Parlimen daripada lapan parti politik menandatangani cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan ‘Mafia Korporat’ yang dikemukakan Sekretariat RCINOW.
Pas merekodkan sokongan tertinggi dengan sembilan Ahli Parlimen, diikuti PKR (lapan), DAP (tujuh), Bersatu (empat), Amanah (dua), manakala UMNO, STAR dan UPKO masing-masing seorang.
Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan ialah Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Azli Yusof (Shah Alam) daripada Amanah; Syahredzan Johan (Bangi), Howard Lee Chuan How (Ipoh Timur), Young Syefura Othman (Bentong), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) serta Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) daripada DAP.
Bagi PKR, mereka ialah Wong Chen (Subang), Prabakaran Parameswaran (Batu), Hassan Karim (Pasir Gudang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Sementara itu, Pas diwakili Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor), Dr Halimah Ali (Kapar), Mohd Misbahul Munir (Parit Buntar), Wan Razali Wan Nor (Kuantan), Datuk Awang Hashim (Pendang), Afnan Hamimi (Alor Setar), Mohd Syahir Sulaiman (Bachok), Ahmad Saad @ Yahaya (Pokok Sena) dan Datuk Dr Nik Muhd Zawawi Nik Salleh (Pasir Puteh), manakala Bersatu diwakili Azman Nasrudin (Padang Serai), Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Turut menandatangani ialah Wan Ahmad Fayhsal (Machang) dari Parti Wawasan Negara (Wawasan), Mohd Kurniawan Naim Mokhtar (Kinabatangan) dari UMNO, Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Madius Tangau (Tuaran) daripada UPKO.

Sekretariat RCINOW turut memberi tempoh 14 hari bermula hari ini sehingga 30 Julai kepada semua Ahli Parlimen untuk menyatakan pendirian masing-masing sebelum senarai penuh pendirian mereka diterbitkan pada 3 Ogos depan.
Sebelum ini, Sekretariat RCINOWmenyerahkan memorandum kepada Parlimen bagi menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat”, selain mendakwa isu itu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi penguatkuasaan negara.
Pada 30 Jun lalu, sekumpulan aktivis berarak ke parlimen di ibu kota bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ melibatkan SPRM.
Kumpulan dinamakan Sekretariat RCINOW, yang dahulunya dikenali sebagai sekretariat #TangkapAzamBaki, berarak dari Taman Tugu ke bangunan Parlimen. – MalaysiaGazette
















