KUANTAN – Seorang lelaki warga emas ditahan kerana disyaki memiliki 34 ekor Katak Demam (Limnonectes Blythii) bernilai anggaran RM17,000 tanpa permit.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, ia hasil serbuan anggotanya ke sebuah stor di Jalan Tras, Bentong kira-kira 5 petang semalam.
“Ketika serbuan di lokasi terbabit mendapati seorang lelaki berusia 66 tahun mengaku sebagai pemilik stor penyimpanan itu.
“Hasil pemeriksaan menemui 34 ekor Katak Demam yang dianggarkan bernilai RM500 setiap ekor. Namun pemilik stor gagal mengemukakan sebarang lesen serta permit yang sah penyimpanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Ahmad Radzi berkata, warga emas itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut manakala kesemua amfibia berkenaan diserahkan kepada pihak PERHILITAN negeri Pahang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua katak itu diperoleh daripada perkampung Orang Asli di kawasan berhampiran untuk dijual kepada kedai makanan eksotik di seluruh negeri ini. – MalaysiaGazette
















