MIRI – Seramai 18 juruterbang HAS International Sdn. Bhd. (HAS) menerima pengiktirafan daripada Airbus Helicopters selepas mencapai 500, 1,000 dan 1,500 jam penerbangan menggunakan helikopter Airbus H175.

Pengiktirafan itu disampaikan sempena HAS Safety Week 2026 di Miri Helibase, mencerminkan perkembangan pesat syarikat membangunkan antara komuniti juruterbang H175 paling berpengalaman di rantau ini dalam tempoh lebih tiga tahun sejak memulakan operasi pesawat berkenaan.

Pengarah Urusan HAS, Hasery Bakar berkata, pencapaian itu bukan sekadar mengiktiraf pengalaman individu juruterbang, malah turut membuktikan keupayaan operasi syarikat yang dibina hasil kerjasama seluruh tenaga kerjanya.

“Pengiktirafan ini sebenarnya adalah mengenai warga kerja kami.

“Walaupun kami berbangga mengendalikan antara helikopter luar pesisir paling canggih di dunia, profesionalisme juruterbang, kepakaran jurutera dan juruteknik serta komitmen seluruh pasukan adalah faktor yang membentuk identiti HAS.

“Pencapaian ini mencerminkan keupayaan operasi yang kami bina bersama serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap aspek keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan HAS International Sdn. Bhd., Hasery Bakar (kanan) bersama Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal.

HAS mula mengendalikan armada Airbus H175 di Sarawak pada 2023 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan kru luar pesisir dan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) kepada PETRONAS Carigali, Shell Malaysia, TotalEnergies, Mubadala Energy, ENEOS, PTTEP dan SK Earthon.

Menurut Hasery, syarikat terus melabur dalam pembangunan juruterbang, jurutera dan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan standard operasi kekal memenuhi keperluan pelanggan sektor minyak dan gas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal berkata, pihaknya berbangga dapat mengiktiraf pencapaian juruterbang HAS yang berjaya mencapai pelbagai rekod jam penerbangan menggunakan H175.

“Pencapaian ini mencerminkan tahap profesionalisme, disiplin operasi dan budaya keselamatan yang tinggi ditunjukkan HAS dalam menyokong misi pengangkutan luar pesisir.

“Kami gembira meraikan kejayaan ini bersama HAS dan berharap kerjasama strategik ini akan terus memperkukuh kecemerlangan industri penerbangan luar pesisir,” jelas beliau.

Anugerah berkenaan disampaikan sempena HAS Safety Week 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Julai bertemakan Respond Right, Learn Always menghimpunkan kakitangan, pelanggan, badan kawal selia dan rakan industri bagi berkongsi amalan terbaik dalam sektor penerbangan luar pesisir.

Hasery berkata, keselamatan kekal menjadi asas kepada setiap operasi syarikat tanpa mengira jumlah jam penerbangan yang direkodkan setiap bulan.

“Sama ada kami merekodkan 300 jam penerbangan sebulan atau 70 jam sebulan, komitmen kami untuk melindungi warga kerja, memberikan perkhidmatan yang selamat kepada pelanggan dan terus menambah baik operasi tidak akan berubah.

“Komitmen itu memberi keyakinan kepada pelanggan untuk terus mempercayakan setiap misi kepada HAS,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast