KUALA LUMPUR – Dakwaan Bersatu menjadi punca perpecahan penyatuan Melayu jika bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tidak berasas.
Sebaliknya parti itu mendakwa mereka tidak diberi ruang bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, proses menuntut kerusi yang banyak pada peringkat awal rundingan adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyalahkan Bersatu.
Menurutnya, dakwaan Tan Sri Annuar Musa Bersatu menuntut 15 kerusi PRN Negeri Sembilan hanya menggambarkan seolah-olah parti itu meminta terlalu banyak kerusi sehingga rundingan tidak dapat diteruskan.
“Kalau Bersatu mengemukakan tuntutan 15 kerusi, itu hanyalah wish list. Dalam rundingan, jumlah itu boleh berubah kepada lima atau enam kerusi. Itulah adat berunding,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bagaimanapun, Marzuki mendakwa, rundingan kerusi bersama Bersatu dihentikan tanpa sebab yang munasabah sekali gus menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar di sebalik keputusan tersebut.
Beliau mendakwa tujuan sebenar adalah bagi memastikan Bersatu tidak bertanding walaupun satu kerusi di bawah logo PN.
“Jadi, apa pilihan Bersatu? Sudah tentu bertanding menggunakan logo sendiri. Bersatu ialah sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk bertanding dalam pilihan raya bukannya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Marzuki turut menolak dakwaan tindakan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri boleh dianggap sebagai usaha memecahkan penyatuan Melayu.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan logik dakwaan itu dengan mengingatkan Pas telah bertanding menentang UMNO selama puluhan tahun tanpa pernah dilabel sebagai pihak yang memecahkan penyatuan Melayu.
“Pas sudah 75 tahun melawan UMNO. Tidak pula dituduh memecahkan penyatuan Melayu. Baru dua tiga hari memeluk UMNO, sudah menuduh orang yang melawan UMNO dan Pas memecahkan penyatuan Melayu. Logik apa ini?” soalnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan menyalahkan Bersatu kerana bertanding selepas rundingan dihentikan adalah tidak wajar kerana parti itu hanya menggunakan haknya sebagai sebuah parti politik.
“Bila awak jadi tuan rumah PN, awak kunci Bersatu dalam bilik. Bila Bersatu tendang pintu untuk membebaskan diri, awak pula tuduh Bersatu merosakkan harta benda.
“Ini sifat pembuli,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















