KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya lima hari lalu terungkai apabila mayatnya ditemui dalam kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Kluang – Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC ditemui oleh orang awam pukul 2.30 pagi dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah di badan serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Jelasnya, kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, media melaporkan keluarga pelajar tingkatan tiga itu merayu bantuan orang ramai untuk mengesan remaja tersebut yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Simpang Waha pada Sabtu lalu.
Muhammad Nasrulhaq kali terakhir dilihat meninggalkan rumah pukul 11 malam dengan menaiki motosikal tersebut berwarna merah hitam dengan nombor pendaftaran JVR 4139.
Ibu saudaranya, Nooranaliza Abd Jalil, 43, berkata, ahli keluarga amat bimbang akan keselamatan remaja berkenaan memandangkan panggilan video terakhirnya bersama-sama seorang rakan perempuan terputus secara tiba-tiba pada pukul 4.26 pagi, Ahad lalu.- MalaysiaGazette
















