JOHOR BAHRU – Lebih 10 buah kenderaan membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor tiba di pekarangan Istana Bukit Serene di sini pukul 9 pagi.
Turut kelihatan kenderaan membawa ADUN Paloh yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
Ting Han yang disapa media sebelum memasuki pekarangan istana tersenyum apabila disapa mengenai jawatan Exco yang bakal disandangnya.
“Baik…baik…terima kasih semua,” katanya sambil melambai ke arah petugas media yang hadir membuat liputan.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini.
Majlis istiadat itu dijadualkan 9.30 pagi akan dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
PRN Johor yang berlangsung Sabtu lepas, menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.- MalaysiaGazette
















