Onn Hafiz bersama-sama barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor bagi penggal baharu mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi ini.

Majlis istiadat itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Onn Hafiz mengumumkan barisan Exco baharu tersebut di kediaman rasminya di Saujana di sini tengah hari ini.

Empat daripada Exco terbabit adalah muka baharu manakala selebihnya adalah muka lama yang kekal portfolio masing-masing dalam pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Exco baharu terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md Israk Abdullah; ADUN Panti, Dr Mohd Naqib Ghazali; ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan ADUN Perling, P Pannir Selvam.

 

Md Israk dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri; Dr Mohd Naqib (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan); Hasrunizah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta Pannir (Pengurusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan).

Enam Exco terdahulu kekal iaitu Datuk Mohd Jafni Md Shukor selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Mohd Hairi Mad Shah (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Mohd Fared Mohd Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam).

Turut dikekalkan Mohd Fazli Mohd Salleh (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur); Lee Ting Han (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar) bagi meneruskan tanggungjawab dalam pentadbiran negeri.

Sementara empat Exco sebelum ini iaitu Khairin-Nisa Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Datuk Zahari Sarip (Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); Aznan Tamin (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan) dan K Raven Kumar (Pengurusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan) digugurkan.

Daripada empat Exco tersebut, hanya Khairin-Nisa tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut, selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada PRN ke-16.

PRN Johor yang berlangsung Sabtu lalu, menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast