SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad bertekad meneruskan legasi kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan mengekalkan kesinambungan pembangunan dan khidmat kepada rakyat di kawasan itu.
Meskipun mengakui berdepan saingan sengit dalam pertandingan tiga penjuru, Nor Azman yakin rekod pencapaian serta perkhidmatan PH di Sikamat sejak empat penggal lalu akan menjadi sandaran utama untuk terus meraih kepercayaan pengundi.
“Saya yakin rekod pencapaian, tadbir urus serta khidmat yang telah diberikan sepanjang tempoh empat penggal akan menjadi asas kepada penilaian rakyat untuk terus memberikan mandat kepada PH,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights hari ini.
Menurut Nor Azman, beliau tidak pernah memandang mudah cabaran yang dihadapi kerana setiap pilihan raya mempunyai dinamikanya tersendiri.
“Saya tidak memandang mudah cabaran di DUN Sikamat walaupun Datuk Seri Aminuddin Harun telah menjadi wakil rakyat di sini selama empat penggal,” katanya.

Beliau berkata, jika diberi mandat oleh rakyat, fokus utama akan diberikan kepada usaha memperkukuhkan agenda pembangunan yang telah dirintis Aminuddin supaya manfaatnya terus dirasai penduduk Sikamat.
“Keutamaan pertama ialah memastikan aspek infrastruktur dan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan penduduk.
“Hampir semua perkara yang diperlukan oleh masyarakat di DUN Sikamat telah diberikan perhatian dan usaha itu akan diteruskan serta diperkasakan mengikut keperluan semasa,” katanya.
Nor Azman berkata, kebajikan warga emas turut menjadi antara agenda utama memandangkan Sikamat merupakan kawasan penempatan yang telah lama dibangunkan dengan sebahagian besar penduduk terdiri daripada golongan berusia.
“Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai inisiatif khusus kepada warga emas dan usaha itu akan diperkukuhkan termasuk penyediaan kemudahan yang lebih mesra golongan tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau mahu memastikan golongan belia tidak tercicir daripada arus pembangunan melalui penyediaan peluang pekerjaan, pembangunan modal insan serta penambahan kemudahan rekreasi dan riadah.
“Anak-anak muda perlu diberi ruang untuk berkembang. Kita mahu menyediakan persekitaran yang mampu memenuhi keperluan mereka sama ada dari segi kerjaya, pembangunan diri mahupun kemudahan untuk beriadah,” katanya.
Nor Azman turut menyeru pengundi Sikamat agar terus memberikan kepercayaan kepada PH bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri dapat diteruskan.
“Saya menyeru seluruh pengundi DUN Sikamat supaya keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon PH, sekali gus meneruskan legasi kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun serta menyumbang kepada pembentukan semula kerajaan PH di Negeri Sembilan,” katanya.
Kerusi DUN N.13 Sikamat pada PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Nor Azman mewakili PH-PKR, Datuk Tun Faisal Ismail (Bersatu) dan Datuk Razali Abu Samah daripada Parti Wawasan Negara yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette
















