Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN – Keputusan Datuk Seri Aminuddin Harun meninggalkan kerusi selamat untuk bertanding di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai bukti keberanian pemimpin Keadilan yang sanggup mengambil risiko demi amanah parti dan kepentingan rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, langkah Menteri Besar Negeri Sembilan itu bukan sekadar strategi pilihan raya, malah mencerminkan budaya perjuangan dalam parti yang meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kedudukan peribadi.

Menurutnya, tindakan Aminuddin turut mengingatkannya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akur dengan keputusan parti untuk bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 meskipun berdepan cabaran besar menentang penyandang ketika itu.

“Pemimpin Keadilan tidak memilih jalan mudah. Apabila parti memerlukan, mereka akan menyahut cabaran walaupun terpaksa meninggalkan kerusi yang dianggap selamat.

“Semangat seperti inilah yang menjadi kekuatan parti sejak dahulu. Sebab itu Keadilan terus berdiri teguh walaupun melalui pelbagai cabaran dan serangan politik,” katanya hari ini.

Saifuddin Shafi

Beliau berkata, suasana di pusat penamaan calon yang dibanjiri penyokong PH turut membuktikan semangat perjuangan parti terus subur dan mendapat dukungan rakyat.

Katanya, kehadiran penyokong dari pelbagai kawasan bukan sekadar memberi sokongan kepada calon, malah membawa mesej jelas bahawa rakyat mahu kesinambungan pentadbiran yang stabil, bersih dan berintegriti diteruskan di Negeri Sembilan.

“Rakyat hadir dengan satu harapan iaitu mahu melihat kerajaan yang bekerja untuk mereka terus diberi mandat.

“Sokongan terhadap kepimpinan Tok Min bukan sahaja tidak goyah, malah semakin membara kerana rakyat mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pentadbiran yang berintegriti diteruskan,” ujarnya.

Saifuddin berkata, tempoh berkempen sehingga hari pengundian perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyampaikan tawaran serta rekod pentadbiran PH kepada rakyat.

“Kita tidak mempunyai masa untuk berhenti atau berehat. Setiap hari sehingga hari pengundian adalah hari untuk bekerja dan meyakinkan rakyat.

“Maruah demokrasi mesti dipertahankan, mandat rakyat mesti dihormati dan Negeri Sembilan perlu terus dipimpin oleh kerajaan yang bekerja demi rakyat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kemenangan Aminuddin di DUN Linggi akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PH mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan.

“Jika Tok Min menang di Linggi, saya yakin ia akan menjadi pemangkin kepada kemenangan PH di Negeri Sembilan.

“Ini adalah perlawanan rakyat. Selagi rakyat memilih kestabilan, perpaduan dan harapan, segala usaha untuk memecah-belahkan mereka tidak akan berjaya,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast