Muhammad Zahin Zinal Abidin

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Palong, Muhammad Zahin Zinal Abidin mempertaruhkan rekod lebih sedekad bersama masyarakat, bermula sebagai aktivis parti ketika berusia 20 tahun sehingga aktif memimpin pelbagai program kebajikan di Felda.

Anak jati Felda Palong 8 itu berkata, perjalanan politiknya dibina daripada bawah, bukannya melalui jalan singkat sebelum diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Pada 2019 saya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pimpinan Cabang Keadilan Jempol sebelum dipilih sebagai Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan.

“Kini saya diamanahkan sebagai Ketua AMK Cabang Jempol dan Setiausaha AMK Negeri Sembilan.

“Semua pengalaman ini menjadi bekalan untuk saya membawa suara rakyat Palong,” katanya.

Namun bagi Muhammad Zahin, politik bukan sekadar soal jawatan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui khidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata, NGO yang digerakkannya menyediakan lapan unit katil hospital untuk dipinjam secara percuma kepada pesakit sekitar Felda Palong 7 dan 8, selain menganjurkan pelbagai program kebajikan sepanjang tahun.

Antara usaha yang menjadi tradisi ialah Program Bubur Lambuk Ramadan yang dilaksanakan hampir lapan tahun berturut-turut, selain pengagihan bakul makanan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim serta sumbangan pakaian Aidilfitri hasil kerjasama dengan pelbagai agensi.

Anak keempqt daripada lima beradik ini juga Naib Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Palong 8 berkata, pengalaman bersama pertubuhan belia memberinya kefahaman mendalam mengenai cabaran dihadapi generasi muda, khususnya peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Saya dibesarkan di Felda Palong 8, bersekolah di sini sebelum melanjutkan pelajaran ke luar. Tetapi saya memilih untuk pulang kerana percaya anak tempatan perlu menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan kawasan sendiri.

“Saya mahu rakyat melihat saya bukan muncul hanya ketika pilihan raya, tetapi sudah lama bersama mereka dalam pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.

Dengan mengetengahkan imej sebagai anak setia Felda Muhammad Zahin yang dilahirkan 28 Oktober 1992 berharap, rekod khidmat masyarakat yang dibina selama ini mampu meyakinkan pengundi untuk memberikan mandat kepada beliau pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Pada PRN kali ini,  penyandang kerusi DUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor mewakili BN akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023 yang turut dicabar oleh Rebin Birham dari Bersatu.

DUN Palong mempunyai seramai 23,555 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast