TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei mendakwa tindakan Amerika Syarikat (AS) melanggar memorandum persefahaman (MoU) damai yang baharu dimeterai dengan Iran sekali lagi membuktikan bahawa tanda tangan Presiden AS, Donald Trump, adalah “tidak bernilai” dan tidak sah.
Beliau membuat kenyataan itu menerusi satu mesej kepada rakyat Iran yang disiarkan media tempatan, yang turut menyentuh beberapa isu penting melibatkan negara itu.
Menurut Khamenei, pelanggaran berulang kali oleh AS terhadap MoU yang ditandatangani Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Trump pada 18 Jun lalu, membuktikan kepada semua pihak bahawa tanda tangan Presiden AS itu “tidak mempunyai nilai dan tidak boleh dipercayai.”
Beliau berkata, AS sekali lagi telah memperlihatkan “wajah sebenar yang tidak berselindung”, sambil menyifatkan pengalaman pahit akibat jenayah dan mungkir janji itu sebagai bukti kukuh bahawa Washington gemar berbohong serta mempunyai sifat yang tidak rasional, tidak boleh dipercayai dan berniat jahat.
Khamenei turut memberi amaran jika AS terus mengamalkan dasar yang disifatkannya sebagai mencetuskan peperangan dan cuba mengenakan kos lebih tinggi terhadap Iran, negara itu bersama pakatan penentangan akan memberikan “pengajaran yang tidak akan dilupakan.”
Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan di rantau itu terus memuncak meskipun MoU berkenaan menetapkan bahawa AS dan Iran sepatutnya mengadakan rundingan dalam tempoh 60 hari bagi mencapai satu perjanjian muktamad.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, AS telah melancarkan beberapa siri serangan terhadap Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan balas ke atas pangkalan serta kemudahan tentera AS di rantau berkenaan.
Terdahulu pada Sabtu, Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Perundangan dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi berkata, Iran telah menghentikan pelaksanaan tanggungjawabnya di bawah MoU dengan AS selepas mendakwa Washington melanggar komitmen yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut. – Agensi















