KUANTAN – Seorang pekebun durian dikenakan tindakan selepas dipercayai memandu sebuah pacuan empat roda secara merbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
Ketua Polis Daerah Raub, Suprintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian tersebut disedari pihak polis kira-kira 11 malam pada 17 Julai lepas setelah tular klip video memaparkan tindakannya itu di media sosial.
“Kejadian dipercayai berlaku di jalan simpang Kallang menuju ke bulatan Bukit Koman, Raub di mana tindakan itu dilihat menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada pengguna jalan raya.
“Justeru, polis menjalankan siasatan lanjut dan menemui kenderaan itu yang merupakan sebuah Toyota Hilux putih di sebuah kawasan kediaman, di sini. Namun, tiada individu berada di rumah tersebut ketika itu,” katanya ketika dihubungi.
Pemeriksaan lanjut pada hari berikutnya kira-kira jam 4 petang di kediaman itu kemudian menemui seorang lelaki berusia 56 tahun yang mengaku sebagai pemilik dan telah memandu kenderaan tersebut seperti dalam klip video terbabit.
Mohd Shahril memaklumkan, hasil saringan ujian air kencing lelaki berkenaan adalah negatif bahan terlarang.
Justeru, dia dikenakan saman kerana telah didapati memandu secara berbahaya.
Kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, video klip tular terbabit memaparkan kenderaan itu tidak dipandu lurus di dalam laluannya sehingga memasuki laluan bertentangan selain berkali-kali brek secara mengejut. – MalaysiaGazette
















