KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggalakkan mahasiswa memanfaatkan platform agensi dalaman seperti Penerbit UKM untuk menebus Baucar Buku Madani 2026 sebanyak RM100.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata, ia menawarkan ratusan judul buku akademik dan pelbagai hasil penyelidikan berimpak tinggi.
“Pemberian Baucar Buku MADANI 2026 mencerminkan komitmen jitu pihak kerajaan dan universiti dalam melahirkan graduan berimpak tinggi.
“Dengan memanfaatkan bantuan ini secara optimum, mahasiswa UKM bukan sahaja bersedia memenuhi keperluan akademik peribadi, malah turut menyumbang kepada pembinaan sebuah masyarakat Malaysia MADANI yang berilmu, kritis, dan berupaya mencipta masa depan negara yang gemilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, inisiatif Baucar Buku Madani 2026 yang dilancarkan 15 Julai lalu adalah langkah proaktif yang menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekosistem intelek di peringkat kampus, sekali gus mendorong mahasiswa untuk lebih berdaya saing.
Sehubungan itu beliau, menyeru mahasiswa UKM untuk merebut peluang keemasan itu untuk mendapatkan bahan bacaan yang relevan dengan bidang pengajian masing-masing.
“Penggunaan baucar ini amat penting untuk memperkukuh kemahiran penyelidikan, meningkatkan literasi maklumat serta memperluas pengetahuan merentas disiplin yang melangkaui sempadan bilik kuliah,” katanya.
Ia membolehkan mahasiswa memperoleh pelbagai bahan ilmiah seperti buku akademik, buku rujukan, buku umum dan e-buku bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.
Bagi memastikan mahasiswa mendapat manfaat yang berterusan, UKM turut menggerakkan beberapa inisiatif sesi libat urus yang melibatkan wakil Perpustakaan UKM serta Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) serta bersama Pusat Tanggungjawab (PTj) berkaitan.
Katanya, langkah sinergi itu bertujuan mengoptimumkan fasiliti perpustakaan serta menyelaras aktiviti galakan membaca.
“Dengan adanya Baucar Buku MADANI, ia melengkapkan usaha tersebut dengan memberi peluang fizikal kepada mahasiswa untuk memiliki koleksi buku sendiri.
“Pemilikan bahan bacaan peribadi secara tidak langsung menanam amalan membaca berterusan yang menjadi asas kepada pembentukan pemikiran kritis dan inovasi,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
















