Oleh: Ismail Hashim Yahaya
SEJAK beberapa minggu lalu, ruang awam Malaysia hampir sepenuhnya dikuasai oleh naratif Pilihan Raya Negeri. Setiap hari perhatian rakyat tertumpu kepada pembahagian kerusi, strategi parti, kemungkinan kerjasama baharu, polemik hubungan antara UMNO dan Pakatan Harapan serta pelbagai spekulasi mengenai masa depan Kerajaan Perpaduan. Media sosial dipenuhi dengan ucapan politik, gambar pemimpin bersalaman dan pelbagai tafsiran tentang siapa yang bakal memperoleh keuntungan politik daripada keputusan pilihan raya.
Namun, di sebalik hiruk-pikuk dan keriuhan itu, ada satu realiti yang semakin kurang diberikan perhatian. Negara tidak pernah berhenti berfungsi hanya kerana pilihan raya sedang berlangsung. Ketika pentas politik dipenuhi dengan persaingan untuk memenangi sokongan pengundi, Kerajaan Persekutuan tetap memikul tanggungjawab yang tidak boleh ditangguhkan. Bekalan tenaga perlu dipastikan mencukupi, harga makanan perlu dipantau, pelaburan asing perlu terus diyakinkan, hubungan diplomatik perlu dipelihara dan kedudukan Malaysia dalam dunia yang semakin tidak menentu perlu terus diperkukuhkan.
Dalam erti kata lain, ketika ramai menumpukan perhatian kepada politik pilihan raya, pentadbiran negara terus berjalan. Persoalannya bukan sama ada pilihan raya itu penting atau tidak. Sudah tentu ia penting dalam sebuah negara demokrasi. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada keriuhan politik telah menenggelamkan perhatian terhadap kerja sebenar mentadbir negara.
Apabila hampir seluruh ruang awam dipenuhi oleh pertarungan naratif politik, masyarakat mungkin lebih mudah mengingati slogan, polemik dan spekulasi berbanding usaha harian kerajaan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi, keselamatan tenaga, bekalan makanan dan hubungan antarabangsa.
Fenomena ini memperlihatkan satu perubahan besar dalam sifat persaingan politik moden. Dalam era media sosial, ertandingan bukan lagi sekadar untuk memenangi pilihan raya. Pertandingan sebenar ialah menguasai perhatian rakyat. Siapa yang berjaya menentukan apakah isu yang dibincangkan setiap hari sebenarnya sedang menentukan rentak politik negara.
Di sinilah muncul satu keadaan yang boleh dihuraikan sebagai Strategic Paralysis iaitu apabila persaingan naratif menyebabkan kerajaan menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk bertindak balas terhadap agenda yang mendominasi ruang awam, sedangkan kerja pentadbiran yang berterusan semakin tenggelam daripada perhatian. Ia seolah-olah menjadi kerajaan lumpuh dalam berhadapan dengan lambakan kritikan, komen, mesej pendek dan visual di media sosial.
Jika diperhatikan, sepanjang kempen PRN, sebahagian besar wacana politik tertumpu kepada persoalan hubungan antara UMNO dan Pakatan Harapan, kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, kemungkinan perubahan jajaran politik serta pelbagai spekulasi mengenai masa depan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun apabila hampir seluruh ruang awam dipenuhi oleh persoalan tersebut, perhatian terhadap urusan pentadbiran negara menjadi semakin terbatas.
Sedangkan pada waktu yang sama, Kerajaan Persekutuan tetap berhadapan dengan cabaran yang jauh lebih besar daripada kempen pilihan raya. Ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga tenaga atau minyak dunia, keselamatan bekalan makanan, usaha menarik pelaburan berkualiti, hubungan ekonomi dengan kuasa-kuasa besar serta pendirian Malaysia dalam pelbagai isu antarabangsa tidak boleh ditangguhkan hanya kerana sebuah negeri sedang mengundi.
Semua urusan itu memerlukan keputusan setiap hari, rundingan berterusan dan pengurusan yang teliti. Inilah sisi pentadbiran yang jarang menjadi tajuk utama. Kejayaan memastikan bekalan asas mencukupi tidak menghasilkan gambar yang dramatik.
Rundingan diplomatik yang membuka peluang perdagangan baharu tidak mencetuskan sensasi seperti pertikaman lidah di pentas ceramah. Usaha mengekalkan keyakinan pelabur pula lazimnya hanya diukur melalui angka dan laporan ekonomi, sedangkan media sosial lebih mengangkat kandungan yang membangkitkan emosi, konflik dan pertentangan.
Natijahnya, kerja pentadbiran yang berlaku setiap hari sering kalah dalam pertandingan mendapatkan perhatian. Kegagalan kerajaan adalah menterjemahkan semua ini kepada naratif yang menyentuh emosi rakyat, yang merasai betapa sukar usaha kerajaan menjaga kestabilan negara.
Politik pasca normal akhirnya memperlihatkan satu paradoks. Semakin penting sesuatu urusan kepada kelangsungan negara, semakin kurang ia mendapat perhatian dalam ruang digital. Sebaliknya, semakin tinggi nilai dramatiknya, semakin besar peluangnya untuk menguasai perbincangan awam.
Tidak hairanlah jika slogan, simbol dan spekulasi lebih cepat menjadi tular berbanding dasar ekonomi atau kejayaan diplomasi. Dalam keadaan seperti ini, persepsi masyarakat terhadap prestasi kerajaan tidak lagi dibentuk semata-mata oleh hasil pentadbiran,tetapi juga oleh naratif yang paling berjaya menguasai ruang awam.
Ini tidak bermaksud politik pilihan raya tidak penting. Dalam sebuah demokrasi, pertandingan politik adalah lumrah dan pilihan raya merupakan mekanisme penting untuk memilih kerajaan. Namun dalam keghairahan berkempen, semua pihak juga
perlu menginsafi bahawa negara tidak boleh terperangkap dalam kitaran politik yang tidak berkesudahan.
Apabila hampir seluruh perhatian tertumpu kepada percaturan PRN, hubungan antara parti-parti politik dan spekulasi mengenai masa depan Kerajaan Persekutuan, ruang untuk membincangkan cabaran sebenar negara semakin mengecil. Usaha memisahkan UMNO daripada kerajaan PH dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berjalan dengan bergerak lancar tetapi jangan melupai siapakah yang mengetuai dan mengurus cabaran dan kelangsungan operasi kerajaan Persekutuan di tengah penutupan Selat Hormuz sekarang?
Harus diingati Malaysia sedang berhadapan dengan dunia yang jauh lebih kompleks daripada pertandingan di sebuah negeri. Ketidaktentuan geopolitik, keselamatan tenaga, bekalan makanan, persaingan ekonomi, kecerdasan buatan, pelaburan asing dan hubungan diplomatik memerlukan perhatian serta keputusan setiap hari. Semua tanggungjawab itu tidak boleh ditangguhkan sehingga pilihan raya selesai.
Atas sebab itu, persaingan politik tidak seharusnya menyebabkan kita melihat setiap perkembangan hanya melalui lensa sama ada Kerajaan Persekutuan akan kekal atau berubah. Sebaliknya, wacana awam juga perlu memberi ruang kepada persoalan yang lebih besar: bagaimana negara diurus, bagaimana kestabilan ekonomi dipelihara dan bagaimana kepentingan jangka panjang Malaysia dipertahankan dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Sebuah kerajaan harus dinilai bukan sahaja melalui keberkesanan kempen politiknya bahkan juga melalui keupayaannya memastikan negara terus stabil ketika dunia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, konflik geopolitik dan cabaran
keselamatan yang semakin kompleks. Pilihan raya ialah asas kepada demokrasi. Namun demokrasi juga memerlukan keseimbangan antara persaingan politik dengan penilaian terhadap keupayaan mentadbir.
Pilihan raya akan berakhir. Kerajaan negeri akan dibentuk. Namun pentadbiran negara akan terus berjalan pada keesokan harinya. Oleh itu, kematangan politik menuntut kita menilai bukan sahaja siapa yang menang dalam pertandingan politik tetapi juga siapa yang mempunyai keupayaan mengurus negara ketika pertandingan itu sedang berlangsung. Dalam sebuah negara demokrasi yang matang, semangat bersaing tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab bersama untuk memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Akhirnya, persoalan yang wajar direnungkan bukanlah siapa yang paling lantang berkempen atau siapa yang paling banyak menguasai tajuk utama sepanjang PRN. Persoalan yang lebih mendasar ialah sama ada kita memberikan perhatian yang
mencukupi kepada kerja sebenar mentadbir negara.
Pilihan raya datang dan pergi. Kerajaan boleh bertukar dan gabungan politik boleh berubah. Namun keperluan mengurus ekonomi, menjamin bekalan makanan dan tenaga, memelihara hubungan antarabangsa serta memastikan kestabilan negara tidak pernah berhenti walaupun satu hari.
Mungkin sudah tiba masanya kita membezakan antara teater politik dengan seni pentadbiran negara. Dalam kontek ini, yang pertama(teater politik) sentiasa menarik perhatian kerana penuh dengan konflik, slogan dan drama manakala yang kedua (seni pentadbiran negara) jarang menjadi tular kerana hasilnya hanya benar-benar dirasai apabila kestabilan itu terganggu.
Dalam era media sosial, cabaran terbesar mana-mana kerajaan bukan sekadar mentadbir dengan baik lebih jauh lagi memastikan kerja pentadbirannya tidak tenggelam di sebalik keriuhan politik yang sentiasa memburu perhatian. Narartif kepentingan memastikan kerajaan persekutuan stabil harus menjadi natarif keutamaan rakyat, kita juga memikul tanggungjawab untuk menilai kedua-duanya secara seimbang kerana masa depan negara ditentukan bukan hanya oleh siapa yang menang dalam pilihan raya tetapi juga oleh siapa yang mampu mentadbir apabila pilihan raya berakhir.

Penulis adalah pemerhati geopoliitk dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.
















