Pengguna pertama Jom Teman Hospital bagi komuniti Semambu, Kuantan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)

KUANTAN – Kewujudan inisiatif Jom Teman Hospital bagi komuniti di Semambu, di sini sangat membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang tidak berkemampuan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan pesakit ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pengguna, Khor Kheng Bee, 63, perkhidmatan ini memudahkan dia mengurus pengangkutan suaminya Ong Meng Fu, 64, yang menghidap sakit angin ahmar mendapatkan rawatan di Bahagian Kardiologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), pagi ini.

“Untuk perkhidmatan ini, saya hanya perlu bayar RM50 sahaja untuk perjalanan pergi dan balik berbanding RM300 sehingga RM500 jika menggunakan ambulans persendirian.

“Ini sangat membantu terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dan saya sangat lega apabila ada perkhidmatan seperti ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Khor Kheng Be

Meskipun suaminya mendapatkan rawatan berjadual di HTAA hanya sekali dalam tempoh sebulan, wanita itu mengakui beban yang ditanggung mereka dapat dikurangkan, lebih-lebih lagi mereka kini tidak lagi berkerja.

Pasangan warga emas ini merupakan pengguna pertama perkhidmatan Jom Teman Hospital selepas inisiatif itu dilancarkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata, inisiatif itu diwujudkan hasil kerjasama pejabatnya dengan Pertubuhan Komuniti Semambu menggunakan kenderaan yang dilengkapi lif khas bagi memudahkan urusan pengangkutan warga emas, OKU dan pesakit ke hospital atau klinik.

“Idea mewujudkan program berkenaan tercetus selepas menerima banyak aduan daripada penduduk yang terpaksa menangguhkan janji temu hospital kerana tidak mempunyai pengangkutan atau tidak mampu membayar kos ambulans persendirian yang tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Chan Chun Kuang (kiri) membantu pesakit menaiki ambulans Jom Teman Hospital

Beliau berkata, selain perkhidmatan pengangkutan, program itu turut menyediakan peneman kepada pesakit (Jom Teman Companion) yang hadir bersendirian dengan kadar RM11 sejam, sekali gus memberi kemudahan kepada waris pesakit.

“Program ini juga dapat membuka peluang menjana pendapatan tambahan kepada mereka yang berminat menjadi peneman terutama golongan pesara, pelajar atau individu yang sedang mencari pekerjaan,” jelasnya.

Chan berkata, sejak dilancarkan, pihaknya telah menerima empat tempahan setakat ini dan beliau yakin sambutan akan terus meningkat apabila lebih ramai penduduk mengetahui mengenai perkhidmatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast