Fahmi Fadzil menyantuni penduduk semasa melakukan Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2.

 

JEMPOL – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil mendakwa Khairy Jamaluddin (KJ) menggunakan isu Melayu dan Islam bagi membina semula pengaruh politiknya selepas kembali aktif bersama UMNO.

Menurut Fahmi, kenyataan bekas Menteri Kesihatan itu yang mengaitkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat kepada PH supaya lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebaliknya, beliau melihat ia sebagai usaha KJ untuk kembali mendapat tempat dalam landskap politik.

“Kita biarlah KJ nak mula bertapak semula. Dia keluar agak lama dan nak mulakan balik asas politiknya.

“Jadi dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dia rasa perlu supaya keberadaan dia dapat dilihat oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2, di sini.

Mengulas dakwaan KJ bahawa Kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap isu Melayu, Fahmi menegaskan, isu mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam bukan dimonopoli oleh mana-mana individu atau parti.

“Saya sebagai seorang Melayu sangat peka dan sensitif terhadap pelbagai perkara yang disebut. Bukan KJ seorang yang tahu pasal isu Melayu.

“Arwah datuk dan arwah nenek saya orang UMNO. Arwah nenek saya orang kuat UMNO dan kuat memperjuangkan nasib orang Melayu serta agama Islam. Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu,” katanya.

Fahmi turut menegur KJ supaya tidak membina naratif yang menggambarkan seolah-olah Pakatan Harapan tidak mempunyai pemimpin Melayu Islam.

“Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? Mohamad Sabu bukan Melayu Islam? Dzulkefly Ahmad bukan Melayu Islam? Amirudin Shari, Aminuddin Harun bukan Melayu Islam?

“Hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap yang kita kata sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat,” katanya.

Beliau turut berpesan agar Khairy tidak terlalu taksub dengan naratif politik sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan rakyat.

“Pesanan saya kepada saudara Khairy, berpada-padalah. Jangan keterlaluan sehingga seolah-olah menidakkan kewujudan pemimpin Melayu Islam dalam Pakatan Harapan semata-mata untuk meraih sokongan politik,” katanya.

Khairy dilaporkan berkata kerjasama BN-PN pada PRN Negeri Sembilan memberi mesej kepada PH supaya lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast