Chan Quin Er.

KUALA LUMPUR – MCA menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat isu kegagalan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula Indonesia, eFishery.

Ketua Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, PAC perlu meneliti aspek pendedahan pelaburan KWAP dalam syarikat tersebut, proses kelulusan yang terlibat serta kecukupan rangka kerja tadbir urus dan seterusnya membentangkan dapatan siasatan itu di Parlimen.

Tegas beliau, dana awam adalah tertakluk kepada penelitian Parlimen dan hanya pendedahan kepada umum boleh mengubah siasatan dalaman menjadi akauntabiliti sebenar.

“Pengakuan kerajaan sendiri bahawa wujud unsur penipuan tidak menamatkan persoalan mengenai akauntabiliti.

“Sebaliknya, ia menuntut siasatan lanjut memandangkan Kementerian Kewangan telah mengesahkan dalam jawapan bertulis Parlimen bahawa KWAP telah diperdaya melalui manipulasi laporan kewangan eFishery.

“Sementara itu, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut telah pun disabitkan kesalahan dan dipenjarakan selama sembilan tahun di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Quin Er, Kementerian Kewangan perlu menyatakan jumlah kerugian sebenar secara jelas kerana orang ramai diberikan dua angka yang dilihat tidak selari berhubung kerugian yang ditanggung KWAP.

Pertama, laporan media menyatakan kerugian menghampiri RM200 juta, iaitu angka yang turut digunakan Perdana Menteri apabila menyatakan KWAP telah diperdaya.

Kedua, KWAP sendiri memaklumkan bahawa pendedahan sebenar dana itu ialah RM163.4 juta bagi pegangan sebanyak 2.51 peratus.

Percanggahan itu katanya, memerlukan penjelasan dan ketelusan daripada kerajaan kerana akauntabiliti tidak boleh bersandarkan angka yang masih belum diselaraskan antara kerajaan dan KWAP.

Menurut beliau, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pelaburan dalam eFishery telah melalui proses usaha wajar (due diligence) yang ditetapkan, menambah persoalan yang semakin sukar dijawab.

“Bagaimana laporan kewangan yang dimanipulasi boleh melepasi proses semakan tanpa dikesan?

“Hakikat bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan mungkin menjelaskan berlakunya kerugian, namun ia tidak menjelaskan mengapa mekanisme perlindungan dana itu gagal mengesannya,” ujar beliau lagi.

Tambah Quin Er, peranan berganda yang disandang Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menjadikan isu tersebut lebih penting serta menuntut akauntabiliti.

Sebagai Perdana Menteri, beliau mempertahankan proses yang dilaksanakan; sebagai Menteri Kewangan, beliau juga bertanggungjawab terhadap KWAP.

Beliau tidak boleh mengesahkan bahawa proses itu memadai, kemudian menafikan tanggungjawab apabila KWAP akhirnya menjadi mangsa penipuan.

Simpanan persaraan awam adalah milik rakyat, ujarnya.

Oleh itu, Lembaga Pengarah KWAP, Panel Pelaburan dan pengurusan kanan perlu menjelaskan bagaimana pendedahan pelaburan ini diluluskan serta kawalan yang dilaksanakan ketika itu.

Sekiranya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran tanggungjawab fidusiari, tindakan sewajarnya mesti diambil dan dilihat benar-benar dilaksanakan.

“Kami menggesa Kementerian Kewangan membentangkan di Parlimen, dengan garis masa yang jelas, pelan pembaharuan konkrit terhadap rangka kerja pelaburan KWAP.

Ini termasuk menetapkan had pendedahan dan tumpuan pelaburan yang mengikat bagi pelaburan modal teroka luar negara yang berisiko tinggi, pengesahan bebas terhadap penyata kewangan syarikat penerima pelaburan sebelum sebarang komitmen dibuat, pelaburan bersama hanya dengan pengurus utama yang telah disaring, pemantauan berasaskan pencetus (trigger-based monitoring) yang dilaporkan kepada Lembaga Pengarah, serta mandat yang jelas untuk memelihara modal simpanan persaraan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast