Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas tidak lena tidur malam apabila RM1.12 juta hangus dalam sekelip mata selepas berjaya diperangkap sebelum diperdaya sindiket phone scam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mangsa yang berusia 63 tahun dan bekerja sendiri di daerah ini, hanya menyedari dirinya ditipu selepas hadir membuat semakan di balai polis.

“Lelaki tempatan itu mendakwa menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya dan pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM).

“Menurut mangsa semuanya bermula apabila dia mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 4 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai pendakwa raya yang memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Talian itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai BNM, katanya.

Mangsa ujar beliau, diperdaya supaya membuka akaun bank khas bagi tujuan siasatan dan diarahkan memindahkan wang simpanannya ke akaun berkenaan.

Menurut beliau, dari Mac hingga Mei lalu, mangsa yang panik dan menuruti arahan suspek melakukan 51 kali transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya sendiri secara keseluruhannya berjumlah RM1,125,000.

Jelasnya, bayaran tambahan turut dibuat atas alasan siasatan, jaminan mahkamah, dan pemprosesan dokumen.

Azrul Hisham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa polis dan agensi penguat kuasa lain seperti mahkamah, Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahupun institusi kewangan tidak pernah mengarahkan orang awam untuk membuka akaun baharu atau memindahkan wang melalui panggilan telefon.

“Bagi mengelakkan orang ramai daripada terus menjadi mangsa taktik kotor sindiket ini, polis menasihatkan supaya mengambil langkah-langkah berikut iaitu jangan panik jika menerima tuduhan jenayah melalui telefon.

“Putuskan talian dengan segera dan semak terus dengan agensi yang berkaitan. Jangan kongsi maklumat perbankan seperti nombor akaun, kod TAC atau OTP.

“Jangan buka akaun bank atau membuat pinjaman atas arahan individu yang tidak dikenali dan buat semakan akaun terlebih dahulu melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan transaksi,” katanya.

Azrul Hisham turut meminta orang ramai menghubungi talian 997 menerusi ‘National Scam Response Centre’ (NSRC) dengan segera jika mengesyaki berlaku penipuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast