Calon Pakatan Harapan N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Tani, Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

SEREMBAN – Kekurangan tanah untuk pembangunan baharu di Ampangan tidak seharusnya menjadi alasan kawasan itu terus ketinggalan, sebaliknya usaha menaik taraf infrastruktur sedia ada perlu diberi keutamaan.

Calon Pakatan Harapan (PH) N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim berkata, kawasan tersebut merupakan antara penempatan lama di Seremban yang membangun sejak lebih empat dekad lalu.

Menurut beliau, realiti itu menyebabkan ruang pembangunan baharu semakin terhad.

“Memang benar Ampangan merupakan kawasan lama. Pembangunan sudah berlaku sejak 40 hingga 50 tahun lalu. Kalau kita lihat sekarang, tanah kosong untuk pembangunan baharu sudah sangat sedikit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas walkabout di Pasar Ampangan hari ini.

Calon Pakatan Harapan N.14 Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim menyantuni peniaga dan penduduk sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pasar Tani, Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada penyelenggaraan kemudahan asas supaya kawasan itu terus menjadi pilihan penduduk dan pelabur.

“Kita perlu pastikan jalan raya berada dalam keadaan baik, longkang berfungsi, sungai bersih dan sistem infrastruktur sentiasa terpelihara.

“Pada masa sama, kebersihan kawasan bandar juga perlu dijaga kerana ia menjadi faktor penting untuk menarik peniaga serta pelanggan datang ke Ampangan,” katanya.

Katanya lagi, pembangunan bandar lama memerlukan pendekatan berbeza.

“Usaha pemuliharaan dan penambahbaikan kemudahan sedia ada menjadi keutamaan berbanding pembukaan kawasan baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast