Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
POLITIK sering diibaratkan sebagai permainan strategi yang sentiasa berubah mengikut keadaan. Musuh boleh menjadi rakan apabila kepentingan bertemu. Rakan pula boleh bertukar menjadi lawan apabila haluan politik berubah. Dalam konteks Malaysia, hubungan antara Pas (dalam artikel ini penulis tidak memfokuskan secara langsung kepada Perikatan Nasional) dengan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO merupakan gambaran paling jelas terhadap hakikat tersebut.
Perjalanan politik kedua-dua parti tidak bergerak dalam satu garis yang selari atau sejajar. Sebaliknya, ia melalui kitaran yang dipenuhi episod persaingan, kerjasama, perpecahan dan penyusunan semula pakatan. Sebab itulah perumpamaan “bagai benang kusut, semakin ditarik semakin sukar dirungkai” begitu dekat dengan realiti hubungan politik ini. Setiap episod baharu bukan menghapuskan sejarah lama, malah menambah lapisan baharu yang menjadikan hubungan tersebut semakin kompleks untuk difahami.
Sejarah yang sentiasa membentuk politik semasa
Untuk memahami hubungan Pas dan BN terutamanya UMNO pada hari ini, seseorang tidak boleh memulakan analisis daripada pilihan raya yang terbaharu sahaja. Akar kepada hubungan ini terbina sejak awal dekad 1950-an apabila PAS muncul sebagai pencabar utama UMNO dalam kalangan pengundi Melayu.
Kedua-dua parti berkongsi kelompok pengundi yang sama tetapi membawa pendekatan yang berbeza. UMNO mengangkat nasionalisme Melayu dalam kerangka pemerintahan demokrasi berparlimen. Pas pula menampilkan politik Islam sebagai asas
perjuangan. Persaingan tersebut akhirnya berkembang menjadi perebutan pengaruh terhadap masyarakat Melayu Islam.
Harold Crouch, sarjana politik dari Australia menjelaskan persaingan antara UMNO dan Pas tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut agama. Beliau berhujah kedua-dua parti sebenarnya bersaing dengan menggunakan Islam, nasionalisme Melayu dan dasar pemerintahan sebagai sumber legitimasi peneraju politik Melayu.
Penjelasan ini membantu kita memahami mengapa hubungan mereka sentiasa berubah mengikut keseimbangan kuasa dan bukannya hanya dipengaruhi oleh perbezaan ideologi. Perubahan paling besar berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila PAS menyertai BN pada tahun 1973.
Pada ketika itu, keutamaan kerajaan ialah membina kestabilan politik dan mengurangkan ketegangan dalam masyarakat. Penyertaan Pas dilihat sebagai langkah menyatukan kepimpinan Melayu dalam menghadapi cabaran pasca konflik.
Namun sejarah membuktikan bahawa penyatuan politik tidak semestinya menjamin keserasian jangka panjang. Krisis politik Kelantan pada tahun 1977 menjadi detik yang mengubah hubungan kedua-dua parti. Pengisytiharan darurat dan penyingkiran Pas daripada BN menamatkan kerjasama yang hanya bertahan beberapa tahun.
Episod ini menunjukkan betapa rapuhnya sesuatu pakatan apabila pembahagian kuasa dan kepentingan politik tidak lagi seiring. Dalam politik, persefahaman yang gagal diurus akhirnya menjadi benih kepada perpecahan.
Selepas itu, hubungan Pas dan UMNO memasuki tempoh persaingan yang berdekad. Ceramah politik, kempen pilihan raya dan wacana awam banyak dipenuhi kritikan antara kedua-dua pihak. Isu negara Islam, kepimpinan ulama, Islam Hadhari dan pelbagai polemik lain membentuk landskap politik Melayu selama beberapa dekad.
Profesor Farish A. Noor melihat persaingan ini sebagai usaha berterusan kedua-dua parti memperoleh autoriti moral, keagamaan dan politik dalam mentakrifkan kedudukan Islam dalam negara serta menentukan bentuk hubungan antara Islam dan politik di Malaysia. Oleh sebab itu, pertentangan mereka tidak hanya berlaku di medan pilihan raya tetapi turut mempengaruhi kehidupan sosial masyarakat.
Pragmatisme politik dalam era penjajaran baharu
Pilihan raya Umum 2018 (PRU 2018) telah mencetuskan proses penjajaran semula politik yang mengubah sistem parti di Malaysia. Kejatuhan BN membuka ruang kepada pembentukan gabungan politik baharu yang sebelum ini sukar dibayangkan, termasuk kerjasama antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada tahun 2019.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa parti-parti politik semakin mengutamakan pertimbangan strategik dan kelangsungan kuasa berbanding persaingan tradisional. Dari perspektif teori, fenomena tersebut boleh ditafsirkan melalui Teori Pilihan Rasional yang menjelaskan aktor politik cenderung memilih strategi yang memberikan manfaat politik paling besar berbanding kos yang perlu ditanggung.
Namun persoalan yang lebih penting ialah sejauh manakah kerjasama yang dibina atas pertimbangan strategik mampu bertahan. Pengalaman politik Malaysia menunjukkan pakatan yang dibentuk ketika menghadapi ancaman bersama sering berdepan cabaran apabila ancaman tersebut mula berkurangan. Isu pembahagian kerusi, kepimpinan dan hala
tuju gabungan kembali menjadi sumber pertikaian.
Perkembangan selepas Pilihan raya Umum 2022 (PRU 2022) sekali lagi memperlihatkan perubahan besar. UMNO memilih menyertai Kerajaan Perpaduan manakala Pas terus memperkukuhkan kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN). Keadaan ini menunjukkan politik Malaysia semakin bersifat dinamik. Pakatan tidak lagi bersifat kekal tetapi sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
Dalam konteks ini, politik Melayu kini berada dalam fasa persaingan yang lebih kompleks. Parti-parti utama bukan sahaja bersaing mendapatkan kerusi tetapi turut berlumba membina keyakinan pengundi terhadap kemampuan mereka memimpin masyarakat Melayu. Persaingan itu berlaku melalui naratif, persepsi dan keupayaan membentuk kepercayaan awam. Daripada sudut analisis, hubungan Pas dan UMNO sebenarnya lebih sesuai difahami sebagai satu kitaran politik. Kerjasama muncul apabila kepentingan bertemu.
Persaingan kembali berlaku apabila matlamat berubah. Corak ini berulang dalam beberapa dekad dan menjadi sebahagian daripada evolusi sistem kepartian Malaysia. Ancaman politik terutamanya yang menyentuh isu keMelayuan-Islam sering menjadi faktor yang menyatukan parti-parti Melayu. Sebaliknya, apabila ancaman tersebut berubah, persaingan untuk menjadi peneraju politik Melayu akan kembali mendominasi.
Pilihara raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 memberikan gambaran yang menarik terhadap fenomena ini. Kerjasama antara Pas dan UMNO dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan mencetuskan mungkin sinar pengaruh atau hilang wibawa terhadap kedua-dua parti politik Melayu tersebut.
Walaupun Pas dan UMNO berada dalam gabungan yang berbeza, sejarah hubungan mereka tetap mempengaruhi cara penyokong dan pengundi mentafsir setiap tindakan politik melalui kerjasama yang dipersetujui di peringkat PRN Negeri Sembilan 2026 ini. Kenyataan pemimpin, strategi kempen dan persepsi masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada pengalaman lampau yang masih segar dalam ingatan ramai. Sejarah terus hidup dalam politik semasa dan menjadi sebahagian daripada pertimbangan pengundi.
Hubungan antara Pas dan BN membuktikan politik tidak pernah dimatikan dengan titik nokhtah. Ia sentiasa berubah mengikut keperluan, tekanan dan keseimbangan kuasa. Perumpamaan “bagai benang kusut, semakin ditarik semakin sukar dirungkai”
menggambarkan bahawa setiap episod baharu tidak memadamkan sejarah lama.
Sebaliknya, sejarah terus membentuk keputusan politik pada masa kini. Analisis terhadap hubungan ini juga menunjukkan pakatan politik yang bertahan bukan sekadar memerlukan persamaan kepentingan jangka pendek, malah memerlukan
persefahaman yang mampu mengatasi perbezaan ideologi, persaingan kepimpinan dan tuntutan akar umbi.
Selagi persoalan tersebut belum diselesaikan secara menyeluruh, hubungan antara Pas dan UMNO akan terus menjadi antara bab yang paling dinamik dan paling sukar diramalkan dalam sejarah politik Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.
















