Gambar hiasan

KUANTAN – Dua warganegara Taiwan merupakan antara 16 individu diberkas polis selepas dipercayai mendalangi sindiket penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmat Ayob berkata, tangkapan dilakukan hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang ke sebuah premis di sekitar daerah ini kira-kira 11 malam tadi.

“Berdasarkan maklumat dan risikan pihak polis mendapati, premis tersebut dipercayai dijadikan sebagai pusat operasi call centre yang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis.

“Sindiket ini dipercayai menyasarkan mangsa warganegara Amerika Syarikat bagi memperdaya mereka untuk menyerahkan wang melalui pelbagai helah dan modus operandi yang telah dirancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Azry, kesemua 16 orang suspek adalah berusia antara 24 hingga 51 tahun yang terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, dua lelaki warganegara Taiwan serta 12 warganegara Filipina (4 lelaki dan 8 wanita).

Tambahnya, siasatan awal turut mendapati dua suspek warganegara Taiwan itu dipercayai bertindak sebagai dalang manakala dua warga Malaysia berperanan sebagai runner dan pemandu.

“Baki suspek warga Filipina dipercayai berperanan sebagai ejen khidmat pelanggan yang berhubung secara langsung dengan mangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan jenayah tersebut.

Antaranya 15 buah komputer riba, 21 buah telefon bimbit, sebuah router, sebuah tetikus komputer, lima helai baju kemeja, dua helai blazer dan empat unit epaulette, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM55,000.

Menurut Azry, semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua tangkapan serta barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Kuantan bagi tindakan lanjut.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini iaitu 24 Julai 2026 untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast