Antara pekerja yang berjaya dibawa keluar dari runtuhan terowong di Sikkim. foto Teesta Times

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya sembilan maut manakala 15 lagi masih terperangkap selepas sebuah terowong yang sedang dibina bagi projek hidroelektrik runtuh di kawasan pedalaman timur laut India.

Pihak berkuasa berkata, kejadian berlaku pada hari Isnin di negeri Sikkim di banjaran Himalaya, ketika pekerja sedang membina terowong untuk projek hidroelektrik milik kerajaan di Sungai Teesta.

Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri Sikkim, Rajiv Roka berkata, dianggarkan antara 25 hingga 27 pekerja terperangkap dalam kejadian itu.

“Setakat ini, sembilan mayat telah ditemukan,” katanya kepada AFP.

Menurut beliau, runtuhan itu dipercayai berpunca daripada satu letupan, namun punca sebenar masih belum dapat dipastikan kerana wilayah berkenaan turut dilanda hujan lebat monsun sejak beberapa hari lalu.

“Kami masih tidak pasti apa yang menyebabkan letupan itu kerana ia berlaku jauh di dalam terowong. Besar kemungkinan ia berpunca daripada faktor semula jadi,” katanya.

Usaha menyelamat turut berdepan kesukaran apabila gas metana beracun yang bocor daripada formasi batuan bawah tanah memenuhi kawasan terowong, menyebabkan hanya pasukan penyelamat yang dilengkapi peralatan oksigen dibenarkan memasuki lokasi.

“Operasi menyelamat sedang dijalankan secara agresif, namun masalah utama ialah kehadiran gas yang banyak di dalam terowong,” katanya.

Beliau berkata, pasukan khas yang terlatih dalam operasi menyelamat kemalangan perlombongan turut diterbangkan ke lokasi bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast