PORT DICKSON – Ribut dan angin kuat telah menyebabkan banyak bendera parti yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung di sini terjatuh sehingga menyebabkan pemandangan kurang menyenangkan.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN itu, Datuk Dr G. Rajasekaran tampil memohon maaf di atas insiden yang di luar jangka malam tadi namun langkah proaktif sudah diambil untuk menyelesaikan segera isu tersebut.
“Saya telah pun berhubung dan meminta Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) dan Logistik Pusat untuk segera menguruskan kerja-kerja pembersihan dan pemasangan semula supaya kawasan kita kembali kemas.
“Selepas itu, saya terus ke Pasar Awam Port Dickson untuk sesi turun padang untuk meluangkan masa, bertanya khabar dan menyantuni peniaga serta rakan-rakan warga Sri Tanjung di sini,” katanya hari ini.

Rajasekaran merupakan penyandang wakil rakyat di DUN Sri Tanjung selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 dengan majoriti 3,996 undi.
Pada 1 Ogos ini, beliau akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi PRN16.
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon Bebas.
Mengulas lanjut, Rajasekaran berkata, rakyat perlu menghormati kepelbagaian dalam usaha mengeratkan perpaduan kerana Malaysia dibina atas semangat saling memahami antara satu sama lain.
Kata beliau, perbezaan bukan penghalang sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita sebagai sebuah keluarga besar dan berterima kasih atas layanan yang begitu mesra dan doa yang diberikan sepanjang berkempen.
“Pelbagai maklum balas dan pandangan telah dikongsikan oleh komuniti setempat.
“Mendengar sendiri keluhan serta cadangan daripada warga Sri Tanjung amat penting bagi memastikan urusan kebajikan dan pembangunan komuniti kita sentiasa diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















